Thursday, May 5, 2016


PENGUMUMAN  PM Najib tentang kedudukan  Ahmad Razif yang terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu  telah melegakan banyak pihak terutamanya `TeamRazif'(meminjam slogan TeamAdnan di Sarawak) dan ianya juga sekali gus menjadikan `RazifFever' (sekali lagi meminjam tagline Sarawak AdnanFever) menjadi semakin kebah. 

Namun kepada ramai orang yang memerhati sepak terajang politik Terengganu, pasti tertanya-tanya apakah sebenarnya yang terjadi dan apa sudah jadi dan itulah karamatnya slogan " tak pernah sebelum ini" yang menjadi `tagline' kebanggaan orang-orang Terengganu  dan mereka semua tertanya-tanya apakah kesudahannya, apakah benar krisis ini sudah berakhir atau ianya membuka episod krisis yang baru di Terengganu.


Sekali fikir, saya tidak perlu menulis apa-apa pun berkaitan dengan krisis kepimpinan Negeri Terengganu ini, apatah lagi bila dikenangkan kembali tulisan sayamelalui blog ini  pada 6/12/2014  yang cuba memberi signal awal kepada  Ahmad Razif telah dipolemikkan oleh orang Terengganu yang pelik sehingga ada yang mengupah penulis upahan mencerca.mengeji,menghina  dan memaki saya dengan pelbagai kaedah. Ahmad Razif sendiri seakan merestui biarpun menafikannya ketika bertemu empat mata di PWTC.

Signal atau isyarat yang saya cuba berikan melalui artikel bertarikh 6/12/2014 itu rupa-rupanya hampir menjadi nyata setelah hampir setahun selepas itu,dari tarikh 22 April 2016 saat  Ahmad Razif ditarik segala pingat dan darjah kebesaran serta diwar-warkan akan menjadi Menteri Besar paling singkat dalam sejarah politik negara, saya tertunggu-tunggu untuk  melihat dan mendengar siapakah yang akan turut merasai keperitan dan kesedihanAhmad Razif  dikalangan rakan-rakan politik beliau, apatah lagi pemakan-pemakan upah yang kononnya perwira dan hulubalang Ahmad Razif.

Malah saya banyak menyimpan `print screen' rakan dan sahabat politik Ahmad Razif yang berwacana melalui WA group membuka satu demi satu pekong kerana masing-masing  sudah yakin bahawa  Ahmad Razif sudah boleh tutup buku politik kerana sudah  `gelap gambor' mengikut istilah rakan-rakan politik .

Kemanakah hilangnya rasa simpati dan tanggungjawab bersama dalam politik dikalangan pimpinan Terengganu yang terdiri daripada orang-orang yang cerdik tapi pelik-pelik  ini? Saat seorang Menteri Besar memerlukan kawan-kawan untuk berkongsi dan mencari kesilapan serta  menilai kelemahan, rupa-rupanya ramai yang sedang menyusun gerakan untuk  menaikan orang lain menjadi Menteri Besar. Ketika PM Najib belum pun lagi mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan, sudah berkumpul kumpulan-kumpulan tertentu di luar Terengganu dan di dalam Terengganu dengan menjadikan orang-orang  tertentu sebagai patron untuk melobi PM Najib  dan Tuanku Sultan bagi memilih Menteri Besar baru. Maka keluarlah gambar, profile dan ucapan selamat bertugas kepada Menteri Besar baru seolah-olah Ahmad Razif sudah pun dikuburkan.

Rakyat marhaen Terengganu perlu menyatakan rasa syukur kerana PM Najib sekali lagi menggunakan kebijaksanaan dan keberanian luar biasa dalam menyelesaikan krisis kepimpinan di Terengganu namun penyelesaian itu sama ada untuk  jangka panjang atau penyelesaian sementara, ianya menuntut kebijaksanaan pimpinan politik Terengganu yang menentukan.

Namun sebagai pemerhati politik yang sayang kepada UMNO dan juga hormat kepada ketulusan PM Najib yang sanggup menjadi galang ganti kepada  penyelesaian krisis Negeri Terengganu kerana setiap kali ada keresahan politik yang menjadi krisis maka setiap kali itulah ada yang terus menahan lukah di pergentingan.

Jika pimpinan politik Terengganu  terus bergantung harap kepada watak seperti ini maka nyata, terang lagi bersuluhlah UMNO Terengganu dan Kerajaan Negeri akan terus berkrisis sehingga PRU14.Apakan tidaknya, ketika heboh kononnya Menteri Besar akan bertukar, ada suara ghaib kononnya amat berpengaruh disisi PM Najib yang  menyuruh si polan bin si polan bersiap sedia sehingga berkonvoi ke Ibu Negara. 

Dan ketika PM Najib mengumumkan bahawa Ahmad Razif kekal, suara ghaib yang sama meniup ditelinga Ahmad Razif bahawa dialah kononnya yang  menasihati PM Najib supaya Menteri Besar lama dikekalkan.. maklumlah suara ghaib ini kononnya amat berkuasa di Putrajaya dan akan berusaha mendapat untung waimma siapa pun menjadi Ketua Kerajaan di Terengganu.

Kepada  Ahmad Razif yang terus diberi kepercayaan memimpin parti dan kerajaan, kesempatan dalam fasa `peluang kedua' ini perlu dimanafaatkan dengan sebaiknya. Gumpalan rambut dalam tepung perlu dianalisa dengan bijak dan matang sebelum dilerai dan ditarik keluar. Tugas sekarang bukan sekadar menarik rambut tetapi menganalisa siapa tuan rambut sama ada kerinting, lurus atau ikal mayang. 

Jika sekali lagi Ahmad Razif mengambil sikap semborono dan semuanya beliau telah tahu, maka akan menjadi benarlah kenyataan kawan-kawan bahawa beliau (Menteri Besar) telah gelap gambor dalam politik.

Sebaliknya jika beliau bangkit dan menggunakan kebijaksanaan, masa depan gemilang akan menantinya dalam memikul amanah kepimpinan yang tidak mudah kerana tidak ramai yang akan menghulur tangan untuk menarik bangun kembali ketika kita terjatuh.

Kepada pimpinan politik dari negeri kelahiran JM Aziz ini yang melahirkan rasa hati terhadap nasib dan masa depan penyu, tidak ada penyelesaian politik yang boleh dibina dengan kepulan asap cerut dan hilai tawa di cafe hotel.

Menukar halangan menjadi peluang hanyalah boleh dicapai dengan kebijaksaan pimpinan berdarjat mengurus hal ini dengan walaq dan ikrar yang tulus, bukannya berwalaq didepan, kemudiannya mendengar hasutan dari orang luar yang kononnya maha berkuasa di Putrajaya.
Janganlah ketika angin kuat mengoncang pokok, kita kuat berpegang supaya tidak jatuh, tetapi tak ubah seperti beruk yang jatuhnya kerana dibuai angin sepoi-sepoi bahasa. Kita tidak perlu lagi dibuai rasa seronok untuk kononnya jawatan yang sementara tetapi akhirnya kuasa dan negeri semuanya hilang dan kita akan berputih mata.

Kayu ukur akhir adalah PRU14 untuk mengekalkan kuasa UMNO dan BN di Terengganu.Maka setiap dari kita janganlah bertanam kelapa condong, kerana perdunya milik kita, tetapi buahnya menjadi milik orang lain. Dalam situasi krisis yang memerlukan kesepakatan dan nilai-nilai jemaah,janganlah serlahkan diri kita sebagai pemimpin mengikut nilaian orang Terengganu, ayam tak patuk, itik tak sudu.

0 comments:

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers