Saturday, October 17, 2015

Ibrahim Saad diumumkan KP BTN yang baru.

PANJANG jangkamasanya sebuah perjalanan perjuangan mengangkat nilai bangsa dengan permulaan tahun 2011 hingga kini tahun 2015 dan khabar yang singgah di telinga cukup untuk membuatkan kita menarik nafas lega dan tidak ada perkataan lain yang pertama terucap melainkan merafak rasa syukur bila dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa sudah ada pengumuman daripada Menteri  di Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Azalina Otrhman Said bahawa  Biro Tata Negara (BTN) akan mendapat Ketua Pengarah yang baru iaitu orang lama dalam BTN yang akan dinaikan pangkat menggantikan Raja Arif Raja Ali iaitu Dato Ibrahim Saad.

Terbitnya rasa syukur ini adalah kerana perjuangan yang panjang dan berliku yang di tempuhi, akhirnya ada sedikit kemanisan dan erti. Perjuangan yang tidak langsung sama sekali bertujuan peribadi tetapi semata-mata ingin menyelamatkan salah satu agensi yang menjadi wadah kepada perjuangan bangsa dari dimusnahkan dari dalam oleh sibangang dan sitolol yang menjadi utusan bagaikan `trojan horse' dalam epik sejarah yang terkenal. 

Sekalung tahniah kepada  PM Najib dan Menteri di JPM diatas keputusan tepat dan bijak biarpun agak terlambat untuk menukar KP BTN kerana masa yang ada cuma tinggal 2 tahun 6 bulan sahaja lagi tetapi bak  kata pujangga `some thing better than nothing',sekurang-kurangnya kalian akhirnya menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan agensi ini.



`Political will' daripada pimpinan terutama daripada  PM Najib dan Menteri di JPM amat-amat dituntut bagi memastikan BTN bukan hanya bertukar kepimpinan tetapi kembali berfungsi sebagai agensi yang melatih, memberi kesedaran dan mendekatkan semula rakyat dengan kerajaan melalui kaedah-kaedah yang berkesan.

Kata kunci kearah tujuan itu PM Najib telah mulakan dengan meletakan `the right man for the right position', kata kunci ini jugalah diharapkan akan menjadi pedoman kepada KP baru BTN yang seharusnya memulakan tugasnya dengan "gear" empat dan bukannya teraba-raba mencari kunci dan baru mahu belajar membeza antara stering, pedal minyak dan pedal brek. 

Kesilapan meletak `wrong man for the wrong position' akan menyebabkan BTN tidak akan dapat berfungsi sebagaimana diharapkan dan akhirnya akan dirumuskan perubahan KP tidak membawa sebarang erti kepada perjuangan bangsa. Sebab itulah kata kunci utama itu benar-benar menuntut kepada kebijaksanaan Dato Ibrahim Saad (DIS),Pengarah BTN Sabah yang telah diumumkan sebagai KP  BTN yang baru. Kebijaksanaan membezakan antara nasi minyak, nasi hujan panas, nasi pelangi dan nasi beriani akan dapat menyerlahkan kebijaksanaan DIS sebagai tukang masak yang akan menentukan ramuan apakah yang diperlukan untuk menyediakan hidangan terbaik dalam tempuh baki masa yang ada sebelum kenduri besar bangsa pada Mei 2018.

Ramai juga yang mengucapkan tahniah dan bertanya kepada saya, apakah selepas ini sudah tidak ada lagi komen-komen yang telah dianggap sebagai serangan berterusan kepada BTN? Malah ada juga yang menganggap bahawa SanggahTokJanggut telah masuk ke gelanggang peribadi dalam  soal serangan atau kritikan kepada BTN. Oleh kerana sentiasa memberi komen atau kritikan kepada  BTN yang dianggap menyerang secara peribadi, saya  sendiri juga telah diserang secara peribadi oleh penulis-penulis upahan kononnya untUk memberi tekanan dan cubaan `divert' dengan harapan blog ini  akan takut dan tidak menulis lagi tentang BTN. 

Lebih malang lagi  ada rombongan yang datang berjumpa mendakwa utusan dari pejabat PM Najib, rombongan dari kawan jemaah dan berbagai lagi termasuk juga antara mereka datang dengan  membawa `bungkusan' untuk tujuan yang sama bagi menghentikan kritikan terhadap BTN.

Ingin ditegaskan, jika tulisan-tulisan sebelum ini yang boleh dianggap serangan peribadai ataupun  cubaan membunuh karektor atau apa jua  yang difikirkan, ianya langsung tidak membawa sentimen peribadi antara saya dengan kepimpinan BTN. Saya tidak pernah mempunyai matlamat ataupun mauduk peribadi dalam agensi BTN dan tidak pernah sekelumit pun bermusuh dengan BTN tetapi yang ditulis,dikritik dan diserang adalah orang-orang yang menjadi api dalam sekam dan gunting dalam lipatan yang telah memandulkan fungsi dan peranan BTN dalam gerakan membina bangsa. 

Malah saya tidak pernah merasa layak pun menerima ucapan tahniah atas pertukaran KP BTN sekarang kerana terlalu kecil.sebesar hama sumbangan dan peranannya. Pertukaran KP BTN sebagaimana yang diumumkan bukanlah kerana tulisan-tulisan dan kritikan blog ini secara berterusan tetapi kerana kegagalan Raja Arif sebagai KP BTN secara total telah mula dihidu dan  diiktiraf oleh PM Najib.

Sebab itulah jika ada ucapan tahniah pun,PM Najib dan Menteri lah yang sepatutnya menerima ucapan tersebut dan disamping itu berilah ucapan-ucapan yang sama itu  itu pada org lain yang mungkin membantu terutamanya pimpinan politik peringkat nasional, orang-orang perseorangan yang sudah mula berani menunjukan muka dan bersuara, pihak-pihak yang juga mendabik dada kononnya hasil usaha merekalah termasuklah yang `berak diatas pusu' (meminjam istilah orang-orang BTN) yang sudah berkira-kira mengintai peluang mencari manfaat peribadi dari segi peluang dan apa sahaja ruang untuk tembolok sendiri. Kelompok seperti ini (yang sudah mula berlagak wira) jika tidak diawasi dengan bijak akan sekali lagi mengundang kegagalan kepada gerakan membina bangsa yang telah diamanahkan kepada DIS.

Selaras dengan tegasan yang telah dibuat bahawa semua kritikan sebelum ini tidak pernah bersifat peribadi, ini bermakna biarpun selepas ini KPnya sudah bertukar dan berganti daripada Raja Arif  kepada DIS, tetapi jika `roh' perjuangan BTN dan matlamat agensi ini masih lagi tidak berfungsi sebagai `berkerja untuk bangsa', maka tulisan dan kritikan terhadap BTN akan terus dapat dibaca. Apatah lagi jika pengurusan baru juga terus membiarkan penyelewengan,salah laku dan pengkhianatan kepada bangsa terus dibiarkan bermarajalela oleh watak-watak sedia ada dan mungkin watak-watak  baru di BTN.

Saya tidak pernah pandai membezakan antara Raja Arif dan DIS jika akhirnya nilai perjuangan tidak kemana-mana. Saya juga tidak pernah terpengaruh dengan retorik puji dan puja. Jika ada perbuatan pegawai membuat tuntutan bertugas menggunakan nama isteri sendiri sedangkan isteri tidak bertugas itu salah,maka salahlah biarpun Raja Arif sudah bertukar menjadi DIS. Jika perbuatan pegawai meminta wang dengan  pengusaha makan itu salah, maka salahlah biarpun DIS telah menjadi KP. 

Apatah lagi jika melibatkan perkara-perkara yang lebih besar dan menyentuh dasar dan saya tidak pernah diajar menilai seseorang berdasarkan berapa kerap orang itu mencium tangan seseorang, tangan siapa yang dicium, berapa kuat bunyi decitan ciuman, semua lakonan itu tidak akan dapat menghentikan tulisan di blog ini jika matlamat menyelamatkan negara bangsa tidak ditunaikan.

Namun jauh disudut hati,saya amat yakin dan  percaya bahawa pengurusan baru BTN tidak akan mengulangi sejarah hitam BTN yang telah dimandulkan selama ini malah saya juga yakin dengan keperibadian DIS yang diangkat dengan penuh hormat dan harapan,tidak akan mengurus dengan dendam,tidak memacu dengan geram, tidak akan menyuburkan perasaan memperlekehkan orang, tidak buta menilai antara kaca dengan intan. 

Sebab itulah seluruh warga BTN perlu senada seirama untuk keluar dari kelompok keselesaan, pecahkan semua benteng halangan demi memikul kembali tanggungjawab kepada bangsa yang sekian lama diabaikan dan kalau perlu, baca dan hafallah kembali jampi serapah lama untuk pulihkan semangat, untuk disasakan seluruh sendi dan kudrat.

Sembuhkanlah BTN dari seluruh penyakit yang ada, kalau bisu biarlah boleh bercakap, kalau buta biarlah boleh melihat, kalau pekak biarlah boleh mendengar akan segala titih pusaka bangsa kerana Islam Agama Persekutuan perlu dipertahankan, Raja-Raja Melayu perlu dikekalkan di singgahsana kuasa, Hak Istimewa bangsa perlu terus terpelihara malah seluruh klausa Perlembagaan perlu diluhurkan dengan bijaksana.. Itulah tugas mulia BTN yang seluruh warganya perlu menjunjung secara bersama.

0 comments:

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers