Sunday, July 31, 2011

Pembelian Sukhoi yang dipolitikkan!
KEMENTERIAN Pertahanan memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk mempolitikkan tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti-parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham di dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.

Di sini, pihak Kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan diperolehi.

Razak difitnah mengaut komisen RM 540 juta!
Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus – selaras dengan tatacara perolehan kerajaan – dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

Perimekar Sdn Bhd dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S.Ombak Laut Sdn. Bhd.

Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:

1. Menyediakan kemudahan kediaman beserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman beserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol

4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap 4 bulan (tiga kali setahun).

6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol
Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:
7. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.

8. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

9. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.

10. Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.

Jumlah kontrak EURO 114.96 juta bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn Bhd., sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan anggota yang ramai.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.
Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Russia.

Rundingan terus ini adalah selari dengan dasar negara Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan Kerajaan Malaysia.

Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Saturday, July 30, 2011

Disyaki ada kaitan dengan PKM?
ADA yang tidak kena di sebalik pembebasan MP Sungai Siput, Jeyakumar dan lima lagi tahanan dari pertuduhan Akta Ordinan Darurat yang sebelum ini dikenakan ke atas mereka kerana disyaki mahu memerangii YDP Agong apabila kesemua mereka ini didapati sedang berusaha untuk menghidupkan kembali fahaman komunis yang telah diharamkan di Negara ini.

Di mana kecuaiannya hingga mereka ini terpaksa dibebaskan?Apakah siasatan polis yang longgar atau seperti disebutkan sebelum ini wujud konspirasi pihak-pihak tertentu dalam jabatan polis untuk memalukan kerajaan dan memalitkan lagi malu yang amat besar kepada kementerian Dalam Negeri terutama sekali Menterinya, Hishamuddin Tun Hussien?

Mustahil PDRM yang  dinobatkan antara pasukan polis terbaik dalam dunia melakukan kecuaian hingga pesalah yang disyaki boleh terlepas daripada pertuduhan ataupun diheret ke mahkamah?Atau pasukan polis yang mengetuai siasatan kes ini tidak mempunyai pengalaman kerana mereka hidup ataupun bertugas selepas PKM diharamkan hingga mereka menjadi buta dan keliru untuk menyiasat kes ini hingga ke akar umbi?

Banyak persoalan-persoalan nakal bermain dalam kepala dan paling nakal selain daripada mogok lapar yang kononnya akan dibuat oleh Jeyakumar sedangkan maklumat yang diperolehi Jeyakumar  tidak pun mogok lapar seperti yang diwar-warkan adalah betapa polis kurang cekap dengan latihan siasatan walaupun sebelum itu mereka begitu megah mendedahkan kononnya polis berjaya mematahkan satu gerakan paling merbahaya dalam negara dengan penemuan bukti-bukti yang kesemua mereka itu terlibat dalam gerakan subversif.Nyanyian polis cukup merdu didengar ketika itu!

Satu perkara dan lebih nakal lagi,mungkin ada kalangan pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap kes ini memandang ringan mauduk ahli PSM ini untuk menghidupkan kembali fahaman komunis dengan mengkaderkan ahli-ahli baru di kalangan mereka dengan tujuan-tujuan tertentu.

Mustahil tidak ada kes?
Mungkin siasatan polis hanya tertumpu kepada Jeyakumar hingga terlepas pandang untuk menyisat lebih mendalam kegiatan ataupun  pengkhianatan yang dilakukan oleh lima lagi ahli Parti Sosialis Malaysia itu hingga akhirnya polis tidak cukup bukti dan terpaksa membebaskan kesemua mereka. Memang itu adalah hak pois tetapi sebagai rakyat,kecuaian yang polis lakukan ini jika ada tidak boieh kita maafkan dan juga memalukan jabatan serta kerajaan.

Ataupun polis diarahkan untuk membebaskan kesemua tahanan ini walaupun tindakan mereka itu boleh menggangu-gugat keselamatan negara kerana bimbang sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional bertambah merundum di kalangan pengundi India?Jika benar ada arahan begitu, malanglah kepada kita kerana kerajaan sanggup mempertaruhkan nasib dan masa depan negara hanya semata-mata mahu meraih undi dan sokongan bagi memenangi PRU13.

Sia-sialah polis mengumpul segala maklumat dan bukti bilamana akhirnya kesemua tahanan ini terpaksa dibebaskan demi memenuhi tuntutan ataupun tekanan pihak-pihak tertentu sedangkan kita semua tahu isu yang melibatkan kepentingan negara bukan satu isu yang main-main.

Atau polis hanya main-main dalam menyiasat kes ini? Kita sedar,polis juga manusia biasa dan dalam diri mereka ada yang menyokong serta menentang kerajaan.Jika kecuaian siasatan ini atau kegagalan menyediakan kertas pertuduhan yang sempurna sebagai alat bagi membolehkan tahanan PSM ini dibebaskan untuk memalu atau mengkhianati kerajaan,ini adalah satu proses siasatan yang paling tidak bermoral dan bertanggungjawab malah tidak menghormati kerajaan yang sedang memerintah ketika ini,

Tindakan dan keputusan polis tersebut memberikan ruang dan modal yang cukup besar kepada pembangkang untuk mengkritik dan menyelar kerajaan malah kesemua tahanan yang dibebaskan itu telah diangkat sebagai hero dan pasi mereka akan dijaja keseluruh pelusuk dosa sebagai alat baru untuk menyerang kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia.Kalau kerajaan akur kepada keputusan ini bermakna kerajaan sedang memberikan seludang kepada pembangkang untuk menyembelih kepimpinan yang ada.

Barangkali inilah sebahagian polis yang menyokong pembangkang mahu dan untuk kesekian kali lagi, PDRM dan Hishamuddin akan dicerca sebagai menyalahgunakan kuasa serta kerajaan Barisan Nasional akan dicacatkan dengan segala tuduhan-tuduhan buruk oleh pembangkang yang sememangnya sentiasa mencari ruang dan peluang.

Malang sungguh bagi Hishamuddin. dalam saat nama dan jawatannya sedang dicemarkan oleh persepsi buruk kalangan pembangkang, pembebasan tahanan PSM ini sekali lagi menjadikan namanya `harum’ serta menjadi `sebutan’ di kesemua ceramah-ceramah pembangkang sedangkan beliau hanya melaksanakan dasar tetapi dasar-dasar ataupun undang-undang seolah-olah dipermainkan oleh sebilangan pegawai polis yang berkepentingan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Berkaitan pembebasan enam tahanan ini, Hishamuddin memerlukan tongkat ajaib untuk membersihkan namanya dan sekiranya benar terbukti ada kecuaian dalam siasatan polis yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai yang berkepentingan politik, PDRM perlu bertindak  ke atas pegawai-pegawainya yang cuai sehingga kes sebesar ini boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

Sehingga ke hari ini. kita masih yakin dan percaya bahawa penyambungan semula kontrak Ketua Polis Negara bukanlah satu tindakan yang bijak oleh kerajaan malah dengan apa yang sedang berlaku dalam PDRM ketika ini membuatkan kita merindui sentuhan tugas Hanif Omar,Rahim Noor dan Norian Mai dan  satu lagi,mengekalkan Peguam Negara hingga ke hari ini juga merupakan satu keputusan yang sukar untuk diterima oleh akal yang waras.
Thursday, July 28, 2011

Kredibilti PDRM sedang dicemarkan!
RAKYAT menjadi semakin keliru dengan beberapa perkembangan mutakhir melibatkan segala sistem perundangan dalam Negara kita ini yang semakin hari semakin diperlekehkan dan dilihat undang-undang di dalam Negara yang didokong sekian lama tidak berjalan mengikut kehendak dan keperluan Perlembagaan Persekutuan yang sebenar-benarnya.

Kita menjadi semakin terkeliru kalau kita mengambil contoh BERSIH yang telah diharamkan kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertbuhan tetapi kumpulan mereka ini sedang bergerak dengan sewenang-wenangnya tanpa tindakan daripada mana-mana pihak yang memegang kuasa untuk mengambil keputusan dan tindakan.

Pertubuhan haram ini dilayan dengan begitu baik dan diberikan tempat yang sewajarnya bukan sahaja di kalangan rakyat yang buta tetapi  juga diangkat sebagai satu gerakan siasah yang dibantu perjalanan pertubuhannnya seolah-olah Negara hari ini diberitahu bahawa Bersih tidak haram walaupun Kementerian Dalam Negeri dan PDRM mengesahkan BErsih adalah pertubuhan haram.

Bersih ini dilihat sebagai penanda aras kepada kegagalan penguatkuasa undang-undang untuk menguatkuasakan arahan bagi mengambil tindakan kepada kumpulan ini dan kumpulan ini tidak jauh bezanya gerakan menjurus kepada membahayakan ketenterama awam dan juga negara.

Mereka tidak jauh bezanya dengan gerakan Al Maunah,Al Arqam dan juga kumpulan yang berselindung di sebalik jemaah tabligh ataupun sekolah-sekolah pondok yang mengkaderkan anak-anak muda hari ini untuk menentang kerajaan serta Yang DiPertuan Agong.

Aapa sudah jadi dengan kerajaan hari ini?Apa majalnya Kementerian Dalam Negeri dan juga PDRM hingga Pengerusi pertubuhan haram ini mengakui bahawa mereka engkar terhadap titah Agong namun  sehingga hari ini tidak ada tindakan di ambil bukan sahaja kepada ketuanya tetapi langsung seperti tidak ada keberanian untuk mengambil tindakan sejajar dengan keperluan undang-undang yang diamalkan sekian lama.

Prinsip Rukun Negara iaitu  yang memeteraikan Kedaulatan Undang-Undang sebagai salah satu terasnya sedang dipermain dan diperkotak katikan oleh mereka yang tahu undang-undang dan pihak yang mengawal undang-undang sedang terkebil-kebil melihat bagaimana undang-undang yang mereka jaga serta kawal selia selama ini sedang dipijak dengan rakus oleh sebahagian besar warganegara yang tidak bertanggungjawab.

Terlalu banyak lagi kerosakan undang-undang yang sedang mereka lakukan.Adakah kerana mereka sedar bahawa kerajaan hari ini tidak berani bertindak maka mereka tanpa segan silu dan rasa takut terus memperlekehkan seluruh sistem yang ada hingga dilihat hari ini sistem itu telah menjadi caca marba.

Kita lihat bagaimana angkuhnya Ambiga, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan ramai lagi kalangan pembangkang dalam Negara ini melanggar undang-undang.Barangkali mereka sedar bahawa kalau ada tindakan pun hanyalah amaran dan peringatan baik dari Menteri yang bertanggungjawab ataupun Ketua Polis Negara yang semakin hilang punca mengemudikan pasukan Po9lis DiRaja Malaysia.


PDRM sendiri mengakui bahawa tindakan pembangkang hari ini adalah untuk membunuh kredibiliti serta intergriti PDRM tapi apa tindakan yang mereka buat?Bila ada yang bertanya, mereka pula kata segala jertas siasatan telahpun diserahkan kepada pejabat Peguam Negara dan terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan tapi soalnya sampai hari ini tidak ada satu pun tindakan yang boleh dibanggakan sebahagian besar lagi rakyat terhadap keberkesanan PDRM dan juga Peguam Negara.

Adakah memungkinkan benar bahawa hubungan antara PDRM dan pejabat Peguam Negara tidak terjalin dengan baik dan kalau kenyataan ini benar, maka benarlah segala tindakan yang dibuat oleh pembangkang hari ini kerana mereka sedang mengambil kesempatan di atas kegagalan dan kecuaian semua pihak.

Kita tidak mahu PDRM, Peguam Negara dan terutama sekali kerajaan tunduk kepada tekanan golongan minority kerana tugas mereka ini adalah menjaga 20 juta lebih rakyat di Negara ini yang masih mempercayai undang-undang bahaw yang baik dibalas baik dan yang jahat dibalas jahat.

Ataupun salahkah kalau kita berandaian bahawa di PDRM dan juga pejabat Peguam Negara juga ada komplot tertentu untuk meruntuhkan kerajaan yang sedia ada hari ini dan mereka membuka ruang kepada rakyat terbanyak untuk terus memperlekehkan kerajaan dan Negara.

Yang pasti gandingan Hismauddin, Ismail Omar dan Ghani Patail bukanlah satu gandingan yang bagus untuk mempertahankan kedaulaatan undang-undang di negara ini.

Tuesday, July 5, 2011

Sek 122 KK-memerangi Yang DiPertuan Agong
KALAU kita baca dan memahami pertuduhan yang dikenakan kepada beberapa orang anggota Parti Sosialis Malaysia(PSM)  termasuklah Dr S.Jeyakumar,Ahli Parlimen Sungai Siput tidak ada kena mengena tangkapan mereka itu berkaitan dengan perhimpunan BERSIH yang telahpun dibatalkan dan sesiapa sahaja yang membanah penangkapan serta penahanan mereka ini adalah orang-orang yang bersetuju dengan gerakan-gerakan yang PSM lakukan.

Mereka ditangkap dan dikenakan pertuduhan di bawah Ordinan darurat kerana kesalahan mereka untuk memerangi Yang DiPertuan Agung sejajar dengan kehendak Seksyen 122,Kanun Keseksaan apabila terbukti kesemua mereka ini berniat melancarkan tentangan itu dengan menghidupkan kembali fahaman komunis melalui beberapa nama yang mereka julang sebagai tokoh sedangkan Parti Komunis Malaysia serta fahamannya telah diharamkan oleh kerajaan dan undang-undang pengawalannya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Tindakan empat orang Sasterawan Negara yang mendesak polis membebaskan tahanan-tahanan ini dilihat seperti mereka terpengaruh dengan dakyah Bersih tanpa mahu mengetahui apa sebenarnya agenda pimpinan PSM ini kerana terbukti mereka menjadikan Bersih sebagai alat untuk mereka menyalurkan fahaman komunis yang telah diharamkan itu.

Barangkali empat orang Sasterawan Negara ini ataupun sesiapa sahaja yang mendesak supaya tahanan ini dibebaskan oleh polis  terlepas pandang  peruntukan undang-undang  yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengekang gerakan mereka yang boleh membahayakan Negara ataupun Sasterawan Negara ini yang cuba menjadi here untuk membela penyebar fahaman komunsi ini telah diberikan maklumat yang salah oleh pihak-pihak yang berkepntingan dengan memperalatkan mereka.

Sewajarnya penangkapan dan penahanan Dr S.Jeyakumar dan rakan-rakannya difahami dengan jelas supaya kita tidak terpedaya dengan helah pembangkang cuba mengalihkan isu ataupun kita menjadi terlalu taksub kerana telinga kita disumbat oleh retorik-retorik politik daripada mereka yang tahu tentang undang-undang tetapi cuba mengelirukan rakyat dengan fakta-fakta yang salah.

Mereka ditangkap dan ditahan kerana cuba sebarkan fahaman komunis
Soal Bersih adalah satu perkara berbeza dengan  sebab penangkapan dan penahanan pemimpin PSM ini oleh polis.Bersih hanya sebuah demonstarsi haram dan telah pun diharamkan oleh Kementerian Dalam Negari manakalah gerakan-gerakan PSM ini dilihat sama bahayanya dengan gerakan Bersih itu malah menjadikan Chin Peng,Rashid Mydin dan beberapa nama pejuang komunisme yang lain lebih banyak lagi mendatangkan kemudaratan kepada Negara ini.

Bersih dijadikan alat untuk melindungi agenda sulit mereka dan sebarang serangan ataupun bantahan terhadap penahanan mereka ini adalah satu cubaan ataupun persubahatan untuk turut sama memerangi Yang DiPertuan Agung,menghina institusi undang-undang serta mencabar kredibilti Polis Diraja Malaysia.Mereka ini juga patut disiasat yang berkemungkinan mereka juga sedang menyebarkan fahaman kimunisme itu di kalangan rakyat Negara ini.

Bila Bersih itu sendiri diragui `kebersihannya’ apatah lagi dengan gerakan-gerakan kotor yang dilakukan oleh PSM hingga mereka tanpa rasa takut mencetak gambar-gambar pemimpin komunis di baju berwarna kuning untuk diedarkan kepada orang ramai dan sekaligus menyanjungi puak-puak komunis ini.

Pikullah kalau tangan berani mencencang!
Tindakan polis itu tepat pada masanya dan kita wajar juga berterima kasih kepada puak-puak Bersih ini kerana disebalik kekotoran Bersih akhirnya berjaya membongkarkan kegiatan-kegiatan subversive daripada pihak-pihak tertentu untuk menghidupkan kembali fahaman ini.

Barangkali ini adalah antara kes-kes terpencil dan mungkin ramai lagi yang menjalankan gerakan secara sulit untuk menghidupkan fahaman ini dan kita percaya penahanan mereka ini akan membuka ataupun memberikan petanda-petanda lain kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan melakukan tangkapan secara besar-besaran.

Penahanan mereka ini jangan kita lihat semata-mata mereka ini menyokong demonstrasi haram itu tapi kerana ada perkara lain yang lebih besar daripada agenda Bersih itu.Secara kebetulan Bersih sedang mahu berdemontarsi, mereka ini menngambil peluang untuk merencanakan matlamat mereka itu dan kita percaya agenda komunisme ini merupakan salah satu modul perjuangan PSM.

Sebagai rakyat yang cintakan undang-undang, kita tidak harus mengajar polis apatah lagi mencerca tindakan-tindakan polis yang jelas tindakan polis itu bermatlamat untuk menjaga serta mengawasi Negara ini ini daripada diresapi anasir-anasir ataupun fahaman-fahaman yang boleh memudaratkan Negara.

Sasterawan Negara orang yang cerdik serta kreatif tetapi mereka harus melihat tangkapan tersebut dalam konteks yang lebih luas dan rakyat juga jangan sampai taksub membuta tuli hingga sanggup menggadaikan Kedaulatan Negara ini dengan memberikan sokongan supaya pimpinan PSM itu dibebaskan.Tindakan polis itu betul dan tepat pada masanya.
Powered by Blogger.

Terbaru

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My Photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers