Saturday, December 31, 2011

PILIHAN Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin hampir. Semakin sibuk parti politik mengatur strategi menawan hati rakyat. Pengundi yang dinamakan 'akar umbi' nampak semakin penting. Ramai juga wakil rakyat mula bekerja dan sedar serta memahami slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. 

Apa jua perkara yang didahulukan kepada rakyat dan harus diberi kepada rakyat, tentulah setiap wakil rakyat mengetahui tugas masing-masing.

Kepada 'pemimpin' yang sedang melobi untuk menjadi calon, serta yang masih mahu kekal jadi calon, atau apa yang disebut sebagai winnable candidate (calon boleh menang), seharusnya sudah merangka usaha untuk berbakti kepada rakyat. 

Ada beberapa wakil rakyat sudah mula memperbanyakkan walk about atau datang terus kepada pengundi di kawasan masing-masing. Tidak kurang juga yang berusaha menyediakan 'profil' diri sebagai calon kepada 'agensi kerajaan' yang ditugaskan untuk menilai senarai calon-calon yang berkelayakan.

Amalan turun padang serta melawat kawasan-kawasan pengundi amat baik. Bertanya khabar dan mendekati pengundi 'akar umbi' seharusnya dibuat sejak mula memegang tugas wakil rakyat lagi dan tentulah ia salah satu cara 'pengundi' melihat wakil rakyat mereka bekerja. 

Tidak kiralah dengan apa cara sekalipun, berjalan kaki, naik basikal, bas, kereta api dan lain-lain lagi yang disebut 'merasai denyut nadi rakyat', susah senang rakyat dirasai bersama. Rakyat tentu lebih tahu menilai siapa wakil rakyat 'sejati' atau yang datang bermusim penuh kepura-puraan. 

Bagi wakil rakyat sejati mereka tahu sasaran mereka. Mereka kenal pengundi dan pemimpin tempatan di kawasan mereka. Biarlah sedikit yang datang mendengar ucapannya asalkan sasaran yang datang adalah memang pengundi 'akar umbi' yang memang berada di kawasan yang dilawatinya. 

Apalah ertinya dapat mengumpul sehingga 10,000 orang dalam sesuatu majlis program pemimpin tetapi yang datang adalah pengundi luar atau tetamu 'import' yang datang meramaikan majlis.

Pernah penulis melihat 'si penganjur' majlis terpaksa mengumpulkan mahasiswa-mahasiswa universiti atau pelajar-pelajar sekolah untuk meramaikan majlis. Bukankah lebih baik bertemu dengan lima orang penduduk tempatan dalam sesuatu kawasan berbanding dengan jemputan 10,000 'orang luar' yang datang ke tempat kita? Berjumpa dengan 'sasaran yang tepat' tentu boleh mencipta sesuatu atau dapat mendekati pengundi.

Bagi wakil rakyat sejati, mereka nampak lebih 'semula jadi'. Cara mereka berbakti dipenuhi dengan keikhlasan dan mereka benar-benar berusaha memimpin dan mendekati rakyat. Ciri-ciri inilah yang menguatkan mereka di akar umbi. Ada 'parti' atau 'tiada parti', wakil rakyat seperti ini tetap kuat dan kukuh. Bertanding atas kerusi mana pun mereka mungkin akan menang. Barisan nasional (BN) tentu memerlukan wakil rakyat seperti ini untuk kekal menang. 

Wakil rakyat sejati adalah wakil rakyat pencetus. Mereka tidak perlu terikat dengan sesiapa. Rakyat di akar umbi dalam kawasannya sentiasa memilihnya menjadi pemimpin. Tidak mencalonkan mereka dalam pilihan raya bermakna satu kesilapan. 

Mereka menentukan hala tuju. Jika mereka melompat parti atau menjadi calon bebas bermakna secara langsung ia memberi kesan kepada sesebuah parti. Itulah hebatnya penangan wakil rakyat sejati.

Apabila Perdana Menteri mengumumkan calon yang akan bertanding nanti adalah calon yang diterima rakyat atau winnable candidate maka berlumba-lumbalah semua wakil rakyat menggelar diri sebagai calon winnable candidate

Ada yang berpura-pura rela digugur dan tidak dicalonkan untuk mendapat simpati rakyat. Tidak kurang yang merasa dirinya menjadi calon sudah memulakan operasi melobi pelbagai pihak. Itulah adat resam politik yang ada sandiwara dan permainan.

Ada pula pengerusi perhubungan negeri sudah berkira-kira menyusun semua pengikutnya menjadi calon yang dikira winnable candidate tanpa kajian mendalam terhadap bakal calon kerana jika tersilap gaya boleh meruntuhkan penguasaan parti dalam PRU13 nanti. 

Di Sabah misalnya, sudah terdengar spekulasi bertiup kencang mengenai penubuhan parti baru, lompat parti, perebutan kerusi dan perpecahan parti. Kita akan sama-sama saksikan sama ada BN masih mampu mempertahankan rekod cemerlangnya (24 Parlimen, 59 Dewan Undangan Negeri) atau dikuburkan oleh 'pihak lain.' 

Pergilah ke kawasan di seluruh negeri Sabah dan buatlah kajian secara mendalam serta dengarlah suara-suara dari akar umbi sebelum memberikan keputusan untuk memilih calon yang winnable candidate.
 
Mungkin akan ditemui masalah sebenar rakyat dan kritikan-kritikan yang pelbagai daripada mereka terhadap wakil rakyat yang menjaga kawasan tersebut. Malah para pengundi ini boleh memberikan pandangan, siapa yang layak atau tidak layak menjadi wakil rakyat mereka nanti. 

Calon winnable candidate yang diharapkan bukan muncul di atas meja atau laporan agensi (yang terdedah kepada ketirisan) tetapi apa yang dimahukan oleh rakyat sebenar. Inilah cabaran sebenar Perdana Menteri dan pengerusi perhubungan negeri. 

Di atas kertas, sesiapa saja boleh memenangi 222 kerusi Parlimen. Bagi BN, pencapaian kemenangan majoriti mudah dan dua pertiga adalah sangat diperlukan untuk meneruskan survival parti dan pemerintahan di negara ini. 

Begitu juga bagi parti pembangkang yang memenangi 83 kerusi Parlimen sekarang, adalah tidak mencukupi untuk menubuh kerajaan dan berharap pada PRU13 nanti, kerusi mereka akan bertambah. Tentulah harapan pada PRU13, sejarah dicipta oleh setiap parti masing-masing. 

Bagi BN Negeri Sabah, 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN tentu tidak mudah dipertahankan hanya dengan laporan pihak yang menyedapkan rasa kepada pucuk pimpinan. Analisis strategi berikut mungkin boleh membantu setelah dipadankan dengan calon winnable candidate BN iaitu;

(i) Tawan dan Tahan (T&T)
Tumpu kawasan yang sedia menang. Mempertahankan kemenangan.
(ii) Tawan dan Ambil (T&A)
Tawan semula kawasan yang dulu pernah menang dan diyakini boleh menang semula dalam PRU13
(iii) Tawan dan Rampas (T&R)
Tawan kawasan yang tidak pernah menang tetapi boleh diyakini menang sehingga 70 peratus sokongan.
(iv) Tinggal Terus (T&T)
 Tidak perlu menawan kawasan yang jelas 'hitam' dan memang tidak boleh menang.

Persoalannya apakah BN Sabah sudah bersedia? Sudahkah ada calon winnable candidate yang diterima rakyat dan memuaskan hati semua orang? Apakah BN sudah bersedia untuk menghadapi pembangkang dengan banyak isu dalaman yang tidak diselesaikan sebelum PRU13? Dan begitu banyak persoalan lagi. Paling pasti rakyat akar umbi akan menjadi penentu.-UM

2 comments:

Drakulla said...

Salam tuan, mohon link kan :
http://bandar-penawar.blogspot.com/

kelapa mawar said...

SLM tUAN..

IKUTI BERITA POLITIK TERKINI DI SABAH MELALUI BLOG http://kelapamawar.blogspot.com/

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers