Wednesday, November 30, 2011

Analogi TSMY penuh makna tersirat!
GENDANG perang sudah bermula dan ucapan perasmian Timbalan presiden UMNO ketika merasmikan Persidangan tiga sayap iaitu Wanita,Pemuda dan Puteri seharusnya membuka mata dan minda kesemua ahli UMNO bahawa mereka perlu memerangi pembangkang walaupun terpaksa menggadai nyawa demi mengembalikan UMNO dan juga rakyat terutama orang-orang Melayu sedar muslihat jahat yang sedang hebat didendangkan oleh penentang kerajaan serta UMNO ketika ini.

Andainya kepimpinan tiga sayap dan ahlinya gagal menterjemahkan hasrat serta analogi ucapan Timbalan Presiden UMNO hampir satu jam itu maka bodoh sangatlah perjuangan mereka selama ini dan jelaslah perjuangan anak-anak muda yang menganggotai sayap tersebut sudah hilang sahsiah serta jati diri mereka terhadap parti keramat orang Melayu ini.

Mereka telah dituntut untuk berjihad demi menyelamatkan masa depan negara dan umat Melayu.Ini satu cabaran terbuka kepada tiga sayap ini tapi adakah mereka bersedia untuk menyahut cabaran tersebut.

Menyelak maksud kata-kata ini ` Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.’ Sayap ini sudah tiada masa untuk berbalah sesama sendiri.Perhimpunan kali ini jangan sesekali digunakan untuk menjadi jurucakap pembangkang,menelanjangi kelemahan diri sendiri atau menjadi lidah pembangkang yang akhirnya pembangkang tersenyum kerana kerja-kerja mereka telah diambil alih oleh ahli UMNO sendiri

Intipati ucapan-

Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan.  Na’uzubillahi min zalik.

Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa.

Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

Parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihanraya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.

Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya  DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu.

Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera.

PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti’

Suatu ketika dahulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa sahaja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS.  

Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk.

`PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS.  Bagi PAS, dalam menghadapi lanskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri.’

Jihad mereka ini perlu diteruskan
Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?’  

`Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran,  yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka.’

`Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan.

`Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.’

`Yakinilah, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO akan terus membela hak anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan segala bantuan pendidikan yang layak bagi diri mereka. Pada masa yang sama, atas dasar keadilan, kita juga tidak menafikan hak anak-anak kaum-kaum lain untuk mendapat kemudahan yang sama. Inilah prinsip al-‘adl wal ihsan yang ditekankan dalam agama kita.’

`UMNO juga akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi.
`Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri?’

`Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihanraya. Ingat, pilihanraya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihanraya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.’

`Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat.’

`Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan.’

`Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Ketika menyeberangi Selat Gibraltar dengan bilangan tentera yang kecil, Tariq berkata kepada tenteranya:

“Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu”.’

 Ayuh UMNO..bangkit dan perangi musuh anda...!Dan kalau kena cara juangnya UMNo akan hidup seribu tahun lagi tapi kalau  tersilap langkah,UMNO akan berkubur dan menjadi cemuhan generasi hinggake Hari Kiamat...!





0 comments:

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers