Saturday, September 4, 2010

SIAPAKAH  yang mengambil untung bila meletus perang memorandum antara  Bahrim Razak dan Rosli Sulaiman Siapakah di belakang mereka? Kalaulah mereka di peralatkan, siapa pula tuan yang menjadikan salah seorang daripada mereka sebagai perkakas yang memungkinkan ada yang untung ataupun menyalakan api dendam sesama sendiri.
Salahkah tindakan Bahrim yang mempertahankan ahli persatuan setelah pendapatan terjejas lantaran gedung-gedung besar juga turut diberikan peluang untuk meraih petak dalam kadar yang begitu banyak di Jalan Masjid India sempena Ramadhan ini sedangkan peluang berniaga sebegitu cuma datang setahun sekali.
Kita tahu tangan siapa di belakang JAKEL yang diberikan lot niaga oleh DBKL sempena bulan puasa sedangkan sebelum ini petak niaga hanyalah diberikan kepada peniaga-peniaga ataupun penjaja kecil sahaja dan DBKL sebelum ini hanya mengosongkan sahaja kawasan di depan gedung-gedung besar ini untuk mengelak kesesakan.
Apakah kerana memorandum yang dihantar oleh Bahrim kepada PM Najib merupakan satu tamparan kepada Menteri Wilayah Persekutuan.Adakah kerana pertemuan Bahrim dengan PMNajib setelah Bahrim berusaha untuk bertemu dan berharap Menteri Wilayah Persekutuan menyelesaikan masalah penjaja di Wilayah Persekutuan dianggap sebagai membelakangi atau memalukan kedudukannya sebagai Menteri Wilayah sehingga satu pihak lagi diwujudkan untuk membasuh arang yang terconteng dimuka.
Kemunculan Memorandum Rosli Sulaiman,Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan untuk membantah memorandum tersebut  dilihat ada yang tidak kena dan  apa tujuan Presiden Penjaja ini berbuat demikian sedangkan perjuangan Bahrim itu bukan bukanlah bersifat individu tetapi lebih memastikan seluruh ahli Persatuan Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu di Wilayah Persekutuan yang dipimpinnya mendapat hak yang sepatutnya.
Dalam soal ini Rosli sepatutnya menyokong tindakan Bahrim itu dan bukannya cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan.Malah sudah ada pihak yang beranggapan memo kedua yang dihantar itu mempunyai agenda lain yang tersembunyi dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang tahu sebabnya.
Pendirian kita cukup jelas, seandainya wujud pertemuan dan masalah ini diselesaikan di peringkat Menteri Wilayah Persekutuan dan juga DBKL, Bahrim yang terkenal dengan kelantangan dalam perjuangan membela nasib penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan yang sebahagian besarnya adalah penyokong kerajaan, Bahrim tidak akan bertindak sejauh ini iaitu menghantar memo kepada PM Najib dan juga mengistihar perang terbuka dengan Menteri Wilayah itu. Jelas wujud karenah birokrasi ataupun pihak kementerian telah tunduk kepada arahan tangan-tangan ghaib yang berselindung di sebalik nama gedung-gedung besar itu.
Persoalan yang timbul, kenapa Bahrim harus bertemu PMNajib? Apakah Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tidak ada kemampuan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh Bahrim ini? Ataupun Menteri Wilayah Persekutuan ini menganggap segala kepincangan yang Bahrim dedahkan itu tidak wajar  diambil tindakan? Barangkali pihak beliau tidak menyangka Bahrim akan sampai di depan muka Perdana Menteri untuk mengadu dan memohon campurtangan PM bagi menyelesaikan masalah penjaja dan peniaga yang beliau wakili itu dan untuk apa seorang Menteri Wilayah Persekutuan sekiranya masalah-masalah seperti ini  tidak mampu diselesaikan.
Apakah kerana rasa marah,malu dan tercabar dengan tindakan Bahrim itu maka satu pihak lain harus digunakan untuk membunuh perwatakan Bahrim sebagai Presiden dengan memutarbelitkan segala fakta dan bukti yang ada?
Adalah amat memalukan kepada kepimpinan kementerian bila persatuan yang selama ini didokong oleh sekumpulan penjaja memprotes  keputusan Menteri dan datuk Bandar dan juga merupakan satu penghinaan kepada tanggungjawab sekiranya masalah-masalah berbangkit harus diselesaikan dengan hanya canpurtangan peribadi Perdana Menteri sendiri.
Melihat kepada tuntutan yang dibuat oleh Bahrim atas nama persatuannya itu, ianya dilihat ada kewajaran kerana tindakan DBKL memberikan kebenaran kepada gedung-gedung besar untuk turut mendapatklan lot jajaan telah menutup peluang yang bukan sedikit kepada penjaja dan peniaga lain kerana hak mereka sebelum ini dinafikan oleh keputusan yang dibuat oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar .
Sepintas lalu dilihat akan wujud ketegangan antara Persatuan Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan dan juga Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan apabila memo kedua yang dihantar itu dilihat lebih menyerang kepimpinan dan keperibadian Bahrim.Soalnya adakah ini merupakan satu konspirasi pihak-pihak tertentu untuk menggulingkan Bahrim sebagai Presiden dan adakah Rosli sedang mengintai jawatan itu?Mengapa pula dibantah memo Bahrim itu sedangkan memo itu menyuarakan hasrat dan kebimbangan serta kekecewaan mereka bila tindakan DBKL makin menutup peluang niaga yang sedia ada.
Baik atau buruknya tindakan Bahrim dipandang mata, sebagai Presiden beliau melalui proses yang panjang, menentang dan ditentang untuk jawatan itu dan Bahrim bersedia berdepan dengan apa sahaja tentangan dan beliau berjaya. Beliau lebih tahu apa yang tersirat dan tersurat di sebalik tindakan Menteri dan DBKL dan lebih tahu karenah dan kegilaan penjaja apabila hak dan rezeki mereka cuba disekat oleh pihak yang berkepentingan peribadi.
Dan kalaulah memo kedua yang dihantar oleh Rosli kepada PM Najib itu dibuat kerana campurtangan Raja Nong Chik, kita boleh anggap ini sebagai tindakan ataupun campurtangan yang cukup memalukan dan bakal menyaksikan pertembungan antara kepentingan politik dan kepentingan pihak penjaja serta peniaga-peniaga kecil dalam Wilayah Persekutuan. 
Kita percaya ada pihak yang sedang cuba mengambil untung daripada pertelingkahan ini. Apa pun perang antara Raja Nong Chik dan Bahrim atau Bahrim dan Raja Nong Chik telah bermula. Api perang ini harus dipadamkan awal dan jangan pula ada pihak yang sedang menahan lukah dipergentingan.
Antara Rosli dan juga Bahrim, hanya mereka yang tahu agendanya dan apa sekalipun agendanya jangan sama sekali dikorbankan nasib dan masa depan lebih enam belas ribu Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu  di Wilayah Persekutuan ini. Jangan benarkan diri untuk dijadikan alat ataupun perkakas bagi kepentingan politik orang lain.Paling penting juga, baik Raja Nong Chik, Rosli ataupun Bahrim, janagn sesakli politikkan isu yang dibangkitkan dan seharusnya ada mekanisme bagi memperbetulkan segala niat.

2 comments:

Anonymous said...

Baharim tidak ada pilihan. Raja Nong Chik tak pedulikan dia bila dia mahu suarakan tentangan penjaja terhadap keputusan yg DBKL buat. Pilihan terakhrinya jumpa Dato Najib.

Raja Nong Chik cukup marah kerana Bahrim belakangkan dia dan mengadu pada PM sedangkan bahrim sudah banyak kali nak berjumpa tapi tak dilayan Raja Nong Chik.

Saya percaya Raja Nong Chik di belakang tindakan Rosli ini...

Haji salleh, Bandar baru sentul,KL

Anonymous said...

Salam dari Muhamad Ashraf Titiwangsa,

Sebagai Menteri MWP&KB, Raja Nong Chik banyak menimbulkan masalah.Kegagalan beliau mencerminkan betapa tidak upayanya untuk dia menjalankan peranan dan tanggungjawab di bandar yg penuh dgn cabaran ini.

Raja Nong Chik terlalu naif untuk bergelar Menteri.

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers