Saturday, December 6, 2014
Harapan besar di bahu Ahmad Razif..
SENTUHAN ringkas dan manja tentang apa yang berlaku di Terengganu baru-baru ini melalui Facebook Rafi Awg Kechik II rupa-rupanya telah dijadikan modal dan bahan polemik oleh seorang anak Terenganu yang mempunyai cita-cita politik di Kuala Nerus untuk menghasut MBAhmad Razif dan rakyat Terengganu kononnya penulis berniat jahat untuk menjatuhkan maruah MB dan rakyat Terengganu sehinggakan beliau menggerakkan satu gelombang untuk menyerang kredibiliti penulis.

Penulis faham maksud anak Kuala Nerus di Putrajaya berbuat demikian,ini kerana beliau kini sedang menghitung hari untuk disingkirkan dari kerusi empuk di Putrajaya atas sebab kegagalannya menjadi Ketua Jabatan dan tindakan yang beliau lakukan adalah untuk menjadi juara di mata MB itu saolah-olah satu strategi mencari nyawa untuk mencari tempat dalam kerajaan negeri dan mencari kedudukan dalam politik Terengganu. 

Sebab itulah disebar merata didalam FB dan media maya, poster yang dibuat oleh para macai kepada budak Kg Pengkalan Arang ini gambar penulis dengan ayat `kechik pada Rafi, besar pada rakyat Terenganu dan Rafi perlu mohon maaf'. 


Kepada MB dan seluruh rakyat Terengganu, jika sentuhan manja itu ditafsirkan sebagai menjatuh maruah MB dan rakyat Terenganu, maka penulis memohon maaf secara terbuka namun ingin ditegaskan, pada penulis, apa yang cuba disampaikan itu tidak `kecil pada pada Rafi, tetapi besar pada rakyat Terenganu' sebaliknya sesuatu yang `besar pada Rafi dan perlu juga menjadi besar pada rakyat Terengganu' kerana ianya berkaitan dengan persoalan yang akan menentukan apakah Terengganu sebuah negeri yang mencipta banyak sejarah, negeri cantik, budaya menarik dan orang-orangnya baik-baik, cerdik-cerdik dan tidak kurang juga ramai yang pelik-pelik, ini akan kekal menang kepada BN dan terus dapat menjadi “safe deposit” kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana harapan PM yang sanggup mengambil keputusan `beraninya' yang luar biasa  menukar kepimpinan Menteri Besar dalam keadaan BN Teranganu cuma menang simple majority 17-15.

Semua rakyat Terengganu tahu bahawa perlantikan Ahmad Razif sebagai MB Terengganu ke 14 dibuat dengan pekenan Tuanku Sultan dan restu PM Najib dalam keadaan politik BN Terenganu seakan telur di hujung tanduk. Tanpa niat untuk menyelak semula lembaran sejarah apa yang telah berlaku dalam PRU 13, yang memberi kemenangan tipis 17-15, semuanya telah terjawab apabila keputusan dibuat pada 12 Mei 2014 jawatan MB bertukar tangan kepada Ahmad Razif yang terkandung bersama perubahan itu adalah harapan baru rakyat Terengganu, kakitangan kerajaan negeri dan yang paling utama pendokong gerakan, bahawa UMNO dan BN akan kembali menguasai dan diterima oleh rakyat terbanyak.Itulah juga harapan PM Najib.

Namun pada hari ini setelah 207 hari Ahmad Razif bergelar MB, bukannya menjadi rahsia kepada rakyat Terengganu, penganalisa politik bahkan PM Najib pun tahu bahawa kini dari segi angka bukan lagi 17-15, tetapi sudah jadi 16-15 kerana yang satu Dun lagi boleh dianggap "kehadiranya dirasa ketiadanya, ketiadaanya dirasakan kehadirannya". 

Cubaan menyerang kredibilti penulis
Situasi inilah yang menjadikan setiap kali mahu berlangsungnya Sidang DUN, langkah-langkah `pre emptive' terpaksa diambil menghadapi pelbagai kemungkinan kerana sering bertiup suara-suara nakal daripada ADUN-ADUN BN yang boleh dianggap mengugut dan mencabar kepimpinan MB. Inilah realiti politik semasa yang terpaksa dihadapi oleh beliau yang rakyat Terengganu secara keseluruhannya perlu faham yang tidak `kecil pada Rafi, tetapi tetapi amat besar' dan perlu di pikul oleh BN dan UMNO secara bersama secara SOLIDARITI, apatah lagi di bahu rakyat Terengganu terpikul amanah dan tanggungjawab agar tidak membiarkan Terengganu ditawan semula oleh pembangkang sebagaimana yakin pembangkang melalui catatan dalam `war room' mereka bahawa antara negeri yang mereka akan tawan dalam PRU 14 adalah Terengganu.

Namun hingga kini rakyat yang menjadi pendokong dan pembawa obor UMNO di akar umbi ternanti-nanti apakah pengisian Transformasi Terenganu Baru (TTB) yang boleh menarik sokongan, menimbulkan rasa suka dan rasa simpati yang akhirnya diterjemahkan kepada analisa sikap mengikut DUN menunjukkan angka 17-15 sudah bertukar menjadi 28-4 ataupun paling kurang 22-10. Atau bagaimana kedudukannya kalau di gunakan analisa umum TPM dalam PAU 2014 , berapa % kah peningkatan sokongan kepada BN sejak 207 hari yg lalu??

Apakah graf sokongan sudah meningkat, mendatar atau semakin menurun?Jika perkongsian deria politik dengan pimpinan politik yang berada di arus perdana dan yang juga makin tersisih di pinggir kuasa politik, bermula dari selatan iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, membawa ke utara Setiu dan Besut, mereka seakan senada dan seirama bahawa tidak ada khabar gembira sebagaimana pemulihan sokongan yang pernah berlaku ketika era `gelombang biru' dan semasa `tiada halangan hanya peluang' bergema dan menjadi mainan bibir rakyat Terenganu buat masa ini. 

Malah dibeberapa kawasan parlimen MB dan PM Najib juga tahu apa cerita eksklusif yang sedang berlaku, yang dicetuskan oleh watak-watak orang-orang yang cerdik-cerdik tapi pelik-pelik yang memberi kesan negatif ekoran tercetusnya konflik politik.

Manakala dalam lingkaran yang lebih dalam pula pelbagai tanggapan dan persepsi berkait dengan kepimpinan dan pengurusan MB yang dikatakan terikat dengan watak-watak tertentu di luar Terengganu yang mencorak cara gaya kepimpinan dan pentadbiran MB Terengganu. Ada tangan-tangan ghaib yang membuat keputusan saolah-olah MB sekadar mengikut sahaja acuan yang telah disediakan oleh orang lain.

Persepsi ini disebar luas berkait dengan perlantikan Setiausaha Politik yang kemudiannya tidak disukai oleh orang-orang tertentu yang meminta MB memecat dan digantikan dengan orang yang disukai oleh orang yang berada di luar Terengganu. 

Akhirnya kini MB mempunyai dua Setiauasaha Politik iaitu Ustaz Rosdi Muda dan Dr Rozelan (tidak pernah berlaku ada dua Setpol untuk MB). Apakah yang berlaku ini memberi nilai tambah yang baik kepada MB? Ini hanya satu contoh malah banyak lagi perkara yang berkaitan dengan  perlantikan Pengerusi GLC, perlantikan jawatan penting dalam Perhubungan UMNO Negeri seperti Bendahari, yang kesemuanya di gambarkan mempunyai campurtangan tangan-tangan ghaib yang seolah-olah mempunyai kuasa preogratif seorang MB dan Pengrusi Badan Perhubungan yang kesannya menjadikan Ahmad Razif seorang YAB yang kurang di hormati oleh pimpinan politik Terengganu. 

Shabery Cheek antara tokoh dari Terengganu
Ini belum lagi karenah dan lagak beberapa TCS (Pegawai Tadbir Negeri) yang mula mengepong MB dan mengikut sumbernya sudah mula ada watak seperti WAN AHMAD KE-2 dan KE-3 seperti masa legasi mantan MB, Ahmad Said yang dikatakan menjadi punca utama kemarahan rakyat Terengganu kepada beliau pada waktu itu.

Apatah lagi MB kini mengambil sikap saolah-olah semua isu dan semua perkara dalam makluman beliau, menjadikan pimpinan politik termasuk dalam BBC mengambil sikap “diam lebih baik”  kerana jika bertemu beliau untuk memaklumkan sesuatu, baru sahaja mula bercakap 2 minit, MB akan memberi respon balik dalam bentuk mini ceramah selama 20 minit menghurai perkara yang sama, seolah-olah MB lebih tahu semuanya.

Dalam tempoh 39 bulan berbaki mengikut masa yang diberi oleh TPM untuk melihat nasib dan masa depan UMNO dan BN, Ahmad Razif perlu bertindak segera keluar dari kepompong persepsi sedia ada malah perlu menukar segera persepsi negatif yang mula terbina dalam lingkaran pimpinan politik Terengganu terhadap beliau dengan yang lebih positif. Peristiwa memalukan beliau dalam mesyuarat MKT UMNO di PWTC tidak harus dibenar berulang semula.

Jika betul beliau agak terikat kerana `budi' yang menyukarkan beliau menjalankan tugas sebagai MB mengikut kebijaksaan yang beliau miliki, janganlah lah pula kerana `budi' itu akan menyebabkan parti tergadai.
.
Mengenali Ahmad Razif, beliau mempunyai visi, karisma, pengalaman dan kebijaksanaan malah bukanlah satu perkara yang sukar untuk beliau segera bertindak menyusun gerakan strategik bagi memastikan kegemilangan semula UMNO dan BN di Terengganu. apatah lagi dengan berlatar belakangkan pendidikan profesional dalam bidang psikologi dan kaunseling. beliau lebih tahu tentang PNA (political needs analysis), beliau memahami karektor manusia yang terbina dari himpunan pengalaman masa lampau, teori hirakie maslow, teori behavior freud, konsep johary window dan teori gestalt.

Kelebihan ini semua membolehkan beliau merencana plan strategik komprehensif untuk TTB, tidak sekadar menjadi slogan sebaliknya sesuatu yang dapat di ukur pencapaiannya dan memberi kesan politik dalam bentuk sokongan di kertas undi.

Tidak dinafikan telah banyak program, aktiviti dan keputusan-keputusan yang dibuat yang menuju ke arah yang dimaksudkan tetapi setakat ini ianya tidak dirasai meresap ke akar umbi. Lihat sahajalah kepada satu contoh program strategik dalam membina kader dan jentera yang disusun mengikut DUN, program RPT(Remaja Permata Terengganu), akhirnya kehadiran peserta daripada Parlimen Kuala Nerus sendiri gagal menepati matlamat apabila ada pelajar-pelajar sekolah yang hadir. Berapa DUN yang berjaya capai matlamat? Bagaimana dengan program-program anjuran ATRA (Agensi Transformasi Rakyat)?

Apakah peruntukan-peruntukan yang dikeluarkan berbaloi dengan kesan politik kepada UMNO dan BN? Program strategik tidak akan menjadi strategik jika tidak dirancang,disusun dan dilaksana secara strategik yang akhirnya sekadar retorik. Inilah keutamaan MB sekarang dalam tempuh 39 bulan yang ada iaitu membina pasukan strategik untuk bekerja bersama MB dalam susah dan senang bagi mencapai matlamat PM Najib dan mengulangi sejarah gemilang 2004.

Atas sebab itu tidak salah rasanya mengambil semangat solidariti,Ahmad Razif bergerak pro aktif dan berlapang dada membawa bersama ahli MKT seperti Idris Jusoh dan Ahmad Shabry Cheek duduk bersama dalam Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu sebagai Penasihat dan kemudiannya mereka diberi tugas merangka strategi dan program di DUN-DUN yang kalah.

Gabungan kepakaran diperlukan...
Kepakaran dan daya juang yang mereka miliki amat rugi jika tidak digunakan. Ingatlah kepada bidalan lama" ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya" dan menerima pakai idea dan pemikiran tokoh-tokoh hebat yang Terengganu miliki dalam membawa kegemilangan kepada BN Terengganu pasti akan memberi nilai tambah yang bermakna. Begitu juga dengan  peranan anak-anak Terengganu di perantauan. Tidak selamanya mereka terus menjadi orang yang hanya memalu gendang diluar gelanggang,mempertikai, memperlekeh seolah-olah mereka lebih pandai tanpa rasa tanggungjawab memberi idea dan sama-sama bekerja.

Pintu telah dibuka oleh MB untuk mereka sama-sama membantu memastikan Terengganu sentiasa berada di landasan yang diimpikan. Usahlah menunggu hamparan permaidani untuk pulang memberi sumbangan dankKepada anak Terengganu yang merasakan diri mereka berada di tampuk kuasa di Putrajaya, usahlah merasa kita lagi hebat dan berdarjat sedangkan hakikatnya kepada rakyat, kita adalah pengkhianat.

Kepada seluruh rakyat Terengganu yang sayangkan Ahmad Razif, haruslah mengambil iktibar. Idris Jusoh akhirnya meninggalkan kerusi MB atas alasan politiknya kerana sokongan rakyat Terengganu makin berkurang selepas PRU 2008 berbanding kemenangan besar PRU 2004.Ahmad Said juga diminta meninggalkan kerusi MB atas alasan sama kerana makin merosot sokongan kepada BN selepas PRU 2012.

Apakah Ahmad Razif tidak akan diminta berbuat perkara yang sama jika gagal mengembalikan sokongan rakyat kepada BN selepas PRU 14 nanti? Sebab itulah KPI yang telah dibuat oleh Badan Perhubungan hasil pelbagai sesi `brainstorming' dan pelan taktikal SWOT dan SMART yang telah mengenal pasti kawasan `stronghold' dan `weak spot' tidak memberi apa-apa makna jika MB terus membiarkan orang-orang yang rasa mereka “cerdik tapi pelik” menguasai bukannya dikuasai.

1 comments:

Anak Terengganu Di Perantauan said...

Ilmu tasauf ada menyebut: 1 jari yg menunjuk kesalahan kpd org lain, ingatlah ada 4 jari yg menuding kpd diri sendiri.

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers