Friday, January 28, 2011

Wah Idris-pencipta asal lagu rasmi WP
ALANG-ALANG mahu mencipta `sejarah’ atapun mahu dilihat meninggalkan legasi kepimpinan tersendiri  dalam Wilayah Persekutuan, mengapa tidak ditukarkan sekali warna dan  bendera Wilayah Persekutuan itu? Mengapa hanya lLagu Rasmi Wilayah Persekutuan yang ditukar sedangkan dasar penciptaan ataupun penggubahan lagu itu adalah berpandukan serta bercirikan lambang bendera itu sendiri?

Lagi menggelikan hati terutama sekali di pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kesemua lirik lagu tersebut telah bertukar tetapi masih mengekalkan tajuk lagu yang sama dan lagu terbaru Wilayah Persekutuan ini telah dicipta oleh Pak Ngah dan dinukilkan liriknya oleh Siso manakala sebelum ini lagu tersebut  dicipta oleh pencipta lagu-lagu patritok tersohor Dato Wah Idris.

Lebih memalukan lagi kerana inilah buat pertama kalinya dalam sejarah sesebuah negeri mempunyai dua buah lagu rasmi dan dilancarkan oleh dua orang DYMM Yang DiPertuan Agung dan dua Perdana Menteri.Rupanya zaman Pak Lah ini bukan sahaja kepimpinan beliau dikritik hebat, lagu pun turut menjadi mangsa.Dan beban daripada keghairahan politik luar biasa ini turut memberikan kesan menyeluruh kepada seluruh penduduk di Wilayah Persekutuan.

Satu lagu dirasmikan zaman Pak Lah dan satu lagi dirasmikan zaman PM Najib.Lagu pertama Raja Perlis(ketika itu DYMM Yang DiPertuan Agung) rasmikan dan kini Tuanku Mizan.Raja Perlis merasmikan lagu ini empat tahun lalu dan Tuanku Mizan akan merasmikannya di tempat yang sama hujung bulan ini di Dataran Merdeka.

Melihat kepada jawapan Menteri Wilayah Persekutuan lagu baru ini dipilih untuk menukar lagu rasmi yang pertama kerana rentak lagu ini perlahan dan tidak menepati ciri-ciri patriotism Wilayah Persekutuan itu sendiri dan beliau mengambll keputusan kerana ianya diputuskan oleh kabinet supaya sebuah lagi lagu baru dicipta.

Soalnya,betulkah kabinet yang putuskan?Betulkah PM Najib yang arahkan lagu rasmi lama dimansuhkan dan digantikan dengan lagu yang baru?Atau Menterinya sendiri mahu dikenang mencipta sejarah di atas sejarah yang telah terpatri setelah tidak mampu berfikir sesuatu yang lain dan hanya melihat lagu sahaja yang boleh memahatkan namanya kononnya sebagai pencipta sejarah?

Alasan ini cukup tidak masuk dek akal dan penukaran lagu ini lebih dilihat mahu memadamkan beberapa khazanah sejarah yang ditinggalkan oleh kepimpinan sebelum ini dan kalau itulah asasnya mengapa Bendera Rasmi Wilayah Persekutuan tidak ditukarkan sekali kerana lagu ini berdiri atas konsep,maksud dan tujuan bendera tersebut.Ataupun Lagu Rasmi pertama itu mahu dipadamkan kerana ada maksud-maksud lain yang tersendiri?

Menafikan lagu ciptaan Wah Idris ini juga satu penghinaan kepada pengkarya ini kerana beliau selain mencipta lagu Rasmi Wilayah Persekutuan telah turut mencipta banyak lagi lagu-lagu patriotic termasuklah menggubah rentak lagu Negaraku sewaktu pemerintahan Tun M sebagai Perdana Menteri dan adakah Wah sebagai pencipta asal lagu ini dirujuk untuk diminta pandanagn sebelum keputusan ini dibuat?

Sepatah kata Wah Idris, hina sangatkah lagu ciptaan saya ini?Kalau lagu ini hina di mata mereka,mengapa cabinet sebelum ini meluluskannya dan yang meluluskan ketika itu rata-ratanya adalah Menteri yang sama?

Kenapa baru hari ini lagu itu dilihat tidak patriotic, perlahan dan sebagainya sedangkan lagu itu telah pun dinyanyikan hampir empat tahun lebih oleh beratus ribu warga Wilayah Persekutuan?Takkan hanya bila Perdana Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan merasakan lagu itu tidak patriotic dan itu menggambarkan citarasa seluruh rakyat di dalam negeri ini?

Ukuran patriotik ini datang dari mana?Dari siapa?Dan adakah saya juga dilabelkan sebagai tidak patriotik?Kalaulah hanya kerana lagu ini perlahan, mengapa saya tidak dirujuk untuk sekurang-kurangnya memberikan ruang dan peluang kepada saya mencari rentak yang lebih sesuai seperti mana sewaktu saya meggubah rentak lagu NegaraKu dan Negaraku hanya berubah rentak tanpa  mengusik sebaris ayat pun dalam lagu itu.

“Saya hanya tahu lagu asal saya itu akan dibuang melalui akhbar dan saya pernah menulis surat kepada KSU Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga Menteri sendiri untuk berbincang tapi sehingga hari ini surat saya tidak berjawab sehinggalah keputusan telah pun dibuat untuk buang lagu saya dan digantikan dengan lagu lain.

“Saya cukup terhiris dengan permainan politik sebegini dan keputusan ini adalah seperti mencerca hasil karya saya dan kalau lagu ini dinilai oleh panel yang bertauliah serta dilihat benar seperti apa yang mereka katakan, saya terima dengan berlapang dada tetapi siapa mereka untuk mengatakan lagu ini tidak patriotik dan sebagainya?Apa bakti dan jasa-jasa mereka terhadap dunia penciptaan lagu-lagu bercorak patriotik sebegini,”tanya Wah Idris lagi.

Bendera rasmi ini seiring dengan maksud dan tujuan di sebalik lagu Maju Dan Sejahtera
Suka atau tidak dan meskipun dibantah keras oleh wakil-wakil rakyat terutama daripada pembangkang terhadap penukaran lagu ini, bulan Februari ini tercipta satu lagi `sejarah luar biasa’ yang tidak pernah dibuat oleh negeri- negeri lain dalam Negara dan mungkin dalam dunia, lagu rasmi Wilayah Persekutuan ini akan dinyanyikan oleh pelajar-pelajar, kakitangan kerajaan yang berkaitan dan apakah nasib Lagu Rasmi yang pertama itu, tentunya dibakulsampahkan.

Kalaulah ini kaedah kepimpinan yang ada dalam Wilayah Persekutuan ini, kita mencadangkan secara serius supaya PM Najib juga mengarahkan Bendera Rasmi Wilayah Persektuan turut di tukar setalah Tuanku Mizan tamat tempoh sebagai DYMM Yang DiPertuan Agung nanti dan semua sejarah yang pernah ditinggalkan oleh legasi kepimpinan sebelum ini berubah dan kalaulah selepas ini Menterinya berganti, carilah apa-apa yang boleh ditukar,dibuang dipadamkan supaya rakyat melihat mereka ini sudah tidak ada kerja-kerja lain lagi dan terpaksa mencipta sejarah di atas sejarah yang telah ditinggalkan.



0 comments:

Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers