Thursday, May 5, 2016
11:00 AM
|
PENGUMUMAN PM Najib tentang kedudukan Ahmad Razif yang terus kekal sebagai Menteri
Besar Terengganu telah melegakan banyak
pihak terutamanya `TeamRazif'(meminjam slogan TeamAdnan di Sarawak) dan ianya juga
sekali gus menjadikan `RazifFever' (sekali lagi meminjam tagline Sarawak
AdnanFever) menjadi semakin kebah.
Namun kepada ramai orang
yang memerhati sepak terajang politik Terengganu, pasti tertanya-tanya apakah
sebenarnya yang terjadi dan apa sudah jadi dan itulah karamatnya slogan "
tak pernah sebelum ini" yang menjadi `tagline' kebanggaan orang-orang
Terengganu dan mereka semua
tertanya-tanya apakah kesudahannya, apakah benar krisis ini sudah berakhir atau
ianya membuka episod krisis yang baru di Terengganu.
Signal atau isyarat yang
saya cuba berikan melalui artikel bertarikh 6/12/2014 itu rupa-rupanya hampir
menjadi nyata setelah hampir setahun selepas itu,dari tarikh 22 April 2016 saat
Ahmad Razif ditarik segala pingat dan
darjah kebesaran serta diwar-warkan akan menjadi Menteri Besar paling singkat
dalam sejarah politik negara, saya tertunggu-tunggu untuk melihat dan mendengar siapakah yang akan
turut merasai keperitan dan kesedihanAhmad Razif dikalangan rakan-rakan politik beliau, apatah
lagi pemakan-pemakan upah yang kononnya perwira dan hulubalang Ahmad Razif.
Malah saya banyak menyimpan `print screen' rakan
dan sahabat politik Ahmad Razif yang berwacana melalui WA group membuka satu
demi satu pekong kerana masing-masing sudah yakin bahawa Ahmad Razif sudah boleh tutup buku politik
kerana sudah `gelap gambor' mengikut
istilah rakan-rakan politik .
Kemanakah hilangnya rasa
simpati dan tanggungjawab bersama dalam politik dikalangan pimpinan Terengganu
yang terdiri daripada orang-orang yang cerdik tapi pelik-pelik ini? Saat seorang Menteri Besar memerlukan
kawan-kawan untuk berkongsi dan mencari kesilapan serta menilai kelemahan, rupa-rupanya ramai yang
sedang menyusun gerakan untuk menaikan
orang lain menjadi Menteri Besar. Ketika PM Najib belum pun lagi mengadap
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan, sudah berkumpul kumpulan-kumpulan
tertentu di luar Terengganu dan di dalam Terengganu dengan menjadikan orang-orang tertentu sebagai patron untuk melobi PM Najib
dan Tuanku Sultan bagi memilih Menteri Besar
baru. Maka keluarlah gambar, profile dan ucapan selamat bertugas kepada Menteri
Besar baru seolah-olah Ahmad Razif sudah pun dikuburkan.
Rakyat marhaen Terengganu perlu
menyatakan rasa syukur kerana PM Najib sekali lagi menggunakan kebijaksanaan
dan keberanian luar biasa dalam menyelesaikan krisis kepimpinan di Terengganu namun
penyelesaian itu sama ada untuk jangka
panjang atau penyelesaian sementara, ianya menuntut kebijaksanaan pimpinan
politik Terengganu yang menentukan.
Namun sebagai pemerhati
politik yang sayang kepada UMNO dan juga hormat kepada ketulusan PM Najib yang sanggup
menjadi galang ganti kepada penyelesaian
krisis Negeri Terengganu kerana setiap kali ada keresahan politik yang menjadi
krisis maka setiap kali itulah ada yang terus menahan lukah di pergentingan.
Jika pimpinan politik Terengganu
terus bergantung harap kepada watak
seperti ini maka nyata, terang lagi bersuluhlah UMNO Terengganu dan Kerajaan Negeri
akan terus berkrisis sehingga PRU14.Apakan tidaknya, ketika heboh kononnya
Menteri Besar akan bertukar, ada suara ghaib kononnya amat berpengaruh disisi
PM Najib yang menyuruh si polan bin si
polan bersiap sedia sehingga berkonvoi ke Ibu Negara.
Dan ketika PM Najib mengumumkan
bahawa Ahmad Razif kekal, suara ghaib yang sama meniup ditelinga Ahmad Razif
bahawa dialah kononnya yang menasihati
PM Najib supaya Menteri Besar lama dikekalkan.. maklumlah suara ghaib ini
kononnya amat berkuasa di Putrajaya dan akan berusaha mendapat untung waimma
siapa pun menjadi Ketua Kerajaan di Terengganu.
Kepada Ahmad Razif yang terus diberi kepercayaan
memimpin parti dan kerajaan, kesempatan dalam fasa `peluang kedua' ini perlu
dimanafaatkan dengan sebaiknya. Gumpalan rambut dalam tepung perlu dianalisa
dengan bijak dan matang sebelum dilerai dan ditarik keluar. Tugas sekarang
bukan sekadar menarik rambut tetapi menganalisa siapa tuan rambut sama ada kerinting,
lurus atau ikal mayang.
Jika sekali lagi Ahmad Razif
mengambil sikap semborono dan semuanya beliau telah tahu, maka akan menjadi
benarlah kenyataan kawan-kawan bahawa beliau (Menteri Besar) telah gelap gambor
dalam politik.
Sebaliknya jika beliau
bangkit dan menggunakan kebijaksanaan, masa depan gemilang akan menantinya
dalam memikul amanah kepimpinan yang tidak mudah kerana tidak ramai yang akan
menghulur tangan untuk menarik bangun kembali ketika kita terjatuh.
Kepada pimpinan politik dari
negeri kelahiran JM Aziz ini yang melahirkan rasa hati terhadap nasib dan masa
depan penyu, tidak ada penyelesaian politik yang boleh dibina dengan kepulan
asap cerut dan hilai tawa di cafe hotel.
Menukar halangan menjadi peluang
hanyalah boleh dicapai dengan kebijaksaan pimpinan berdarjat mengurus hal ini
dengan walaq dan ikrar yang tulus, bukannya berwalaq didepan, kemudiannya
mendengar hasutan dari orang luar yang kononnya maha berkuasa di Putrajaya.
Janganlah ketika angin kuat
mengoncang pokok, kita kuat berpegang supaya tidak jatuh, tetapi tak ubah
seperti beruk yang jatuhnya kerana dibuai angin sepoi-sepoi bahasa. Kita tidak
perlu lagi dibuai rasa seronok untuk kononnya jawatan yang sementara tetapi
akhirnya kuasa dan negeri semuanya hilang dan kita akan berputih mata.
Kayu ukur akhir adalah PRU14
untuk mengekalkan kuasa UMNO dan BN di Terengganu.Maka setiap dari kita
janganlah bertanam kelapa condong, kerana perdunya milik kita, tetapi buahnya
menjadi milik orang lain. Dalam situasi krisis yang memerlukan kesepakatan dan
nilai-nilai jemaah,janganlah serlahkan diri kita sebagai pemimpin mengikut
nilaian orang Terengganu, ayam tak patuk, itik tak sudu.
Subscribe to:
Post Comments
(Atom)
Powered by Blogger.
Bila Keris Di Asam Limau
- Sanggah Tok Janggut
- AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..
0 comments:
Post a Comment