Monday, March 23, 2015
9:23 PM
|
Sampai bila mereka ini mahu mengemis kuasa? |
TIADA yang lebih menarik
perhatian seluruh para pemain dan pemerhati politik, penjawat awam dan
rakyat di pelbagai lapisan dan kedudukan serta latar belakang agama
melainkan isu hudud atau lebih tepat Pindaan Enakmen Kanun Syariah II 1993
merangkumi Hudud,Kisas dan Takzir yang pembentangannya di DUN Kelantan telah
diluluskan dengan mendapat sokongan sebulat suara termasuklah sokongan daripada 12 ADUN BN/UMNO.
Satu keputusan yang
telah menyebabkan para cyber trooper RBA dan rakan-rakan sekutu dengannya
hilang kata-kata dan telah terkunci papan keyboard masing-masing untuk terus merekayasa
fitnah dan cerita tentang 1MDB, jet baru kerajaan,GST dan juga
perkahwinan Puteri PM Najib.
Malah yang lebih menarik,
peristiwa yang akan tercatat dalam dokumentasi sejarah itu telah menjentik
telur sebahagian pimpinan politik untuk mengadakan mesyuarat tergempar dan ada yang tergagap-gagap membuat
kenyataan berbaur marah,kesal dan saling ugut mengugut.
Serentak dengan itu
muncullah para penganalisis daripada kalangan `licence politician' berbekalkan
ilmu politik bertaraf PhD dan meramalkan akan berlaku itu dan ini manakala di
kalangan `experience politician' pula sanggup keluar dari pertapaan mengupas
berasaskan berapa banyak garam politik yang telah dimakan bahkan tidak kurang
juga `corporate politician' membuat analisa berasaskan disiplin bisnes
yang menjadi pegangan.
Golongan inilah paling
menarik analisanya kerana disiplin yang menjadi pegangan mereka ialah,mereka
boleh menjadi UMNO dan BN sewaktu bertemu Menteri minta sokongan di Putrajaya,
boleh jadi PAS ketika menyerahkan borang tender di Kompleks Darul Naim di Kota
Bharu, boleh jadi PKR sewaktu mendengar taklimat projek di Shah Alam dan tidak
teragak-agak menjadi DAP sewaktu ke KOMTAR Pulau Pinang mengintai ruang
perniagaan.
Apa pun tafsiran dan analisa,
inilah dimensi baru dalam politik negara kerana ianya berlaku tatkala Presiden PAS sedang
mengalami deposit keyakinan ahli terhadap keupayaan Presiden memimpin,manakala
UMNO pula menghadapi krisis `bad branding' akibat daripada
kegagalan Presiden mengurus persepsi dan hilang sentuhan pada setiap
`command' sehingga menuntut kepada pernyataan taat setia daripada Ketua-Ketua
UMNO Bahagian dan Presiden-Presiden parti komponen. Sesuatu yang boleh memberi
pelbagai indikator dalam dairi politik seorang pemimpin dan sebab itulah ada juga yang
mula meniupkan khabar bahawa pembentangan enekmen itu adalah `tools' politik
dari dua orang Presiden untuk terus kukuh di persada kuasa.
Namun apa pun helah politik
kepada seluruh penyokong PAS yang bukan
sahaja di Kelantan tapi merata tempat di seluruh negara, baik di Tanjung
Piai,Johor, di Bario, Sarawak, di Lahad Datu, Sabah,di Kampung Pandan, Kuala Lumpur
atau di Cheetham Hill, Manchester dan mungkin inilah yang mereka tunggu-tunggu
sejak sekian lama setelah diberi pelbagai alasan yang boleh
mengugat kepercayaan bahawa PAS dan Hudud bukanlah umpama lagu Raya yang di lagukan
pada musim pilihan raya tetapi inilah antara perjuangan PAS.
Ternyata langkah ini
mengembalikan semula sokongan politik kepada PAS yang telah mula terhakis dan kepada
penyokong UMNO pula mereka boleh tersenyum puas kerana terbukti PAS akan
kehilangan fatwa untuk menuduh UMNO adalah penentang hudud kerana terbukti dengan
sokongan padu wakil UMNO, terbukti mereka tidak pernah menolak hukum Tuhan.
Manakala kepada
seluruh umat Islam pasti terbit rasa syukur dan bangga kerana pemimpin Melayu
dan Islam yang mereka pilih dalam pilihanraya telah menunaikan
tanggungjawab terhadap agama yang didatangkan dalam bentuk ujian kuasa politik yang
telah mereka tunaikan.
Yang lebih menariknya
ialah kita boleh melihat munculnya pula watak-watak sebenar penentang hukum
Allah yang menzahirkan emosi dan memek muka yang berbagai-bagai. Ada yang
bagaikan kera kena belacan, ada yang bagaikan cacing kepanasan bahkan ada yang
bagaikan ayam telurnya sebiji,tapi riuh sekampung terloncat-loncat ke hulu
hilir berketak perihal setiakawan dan konsensus politik yang natijah akhirnya
boleh ditafsirkan sebagai menolak hukum Islam.
Apa juga tafsiran dan irama
lagu yang telah dan akan didendangkan ekoran kejayaan PAS membentangkan enekmen
ini dan kejujuran UMNO menyokong, semuanya harus menggunakan akal yang
bijak dan ketajaman membaca liuk lintuk gerak tari bersandarkan realiti
politik dalam sistem Demokrasi Berparlimen yang formula biasanya berasaskan
`game of numbers'.
Kejayaan membentang dan
diluluskan sebulat suara hanyalah kejayaan awal tetapi untuk melihat hukum ini
terlaksana ianya menuntut kepada `collective intent',`collective
responsibilities' dan `collective values' yang berterusan daripada PAS
dan UMNO kerana halangan sebenarnya dalam sistem politik ini adalah angka.
Perjalanan untuk melihat
hudud dilaksanakan di Negeri Kelantan masih lagi panjang dan berliku dan beberapa
Akta dan Fasal dalam Perlembagaan harus dipinda di Dewan Rakyat terlebih dahulu
iaitu dua perkara yang perlu dipinda ialah Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah)
Bidang Kuasa Jenayah 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi
memberi kuasa kepada Negeri Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah itu.Untuk meminda dua akta ini
hanya memerlukan sokongan `simple majority' atau 112 orang Ahli Parlimen
bersetuju bagi membolehkan ianya diluluskan.
Hakikat ini semuanya di
maklumi oleh semua pemain politik peringkat tertinggi sama ada Melayu atau
Bukan Melayu dan apa juga helah, apa juga strategi dan perancangan semuanya
terikat pada angka 222 iaitu jumlah kerusi Parlimen yang ada setakat ini dan dijangka
akan kekal sehingga PRU 14. Sebarang kelulusan dan pindaan apa juga dasar dan
peruntukan apa pun adalah memerlukan sokongan 2/3 majorit atau pada
perkara-perkara tertentu memerlukan `simple
majoritiy' .
Jadi kita sepatutnya mula
sama-sama menyemak apakah Melayu Islam tanpa mengira parti politik cukup jumlah
2/3 iaitu 148 orang dalam Parlimen hari ini dan selepas PRU14 atau jika cukup
jumlah `simple majoritiy', apakah semuanya akan menyokong ?Ini fakta `overt' yang
tidak tersembunyi sebarang maksud tersirat.
(Rujuk jadual jumlah Ahli
Parlimen Melayu Islam di sebelah)
Ternyata bahawa sehingga hari ini jika sekiranya
kita berjaya satukan pemikiran dan matlamat semua Ahli Parlimen Melayu Islam,angkanya belum lagi mencukupi jumlah 2/3 untuk meluluskannya di Parlimen. Ini
bermakna UMNO dan PAS perlu mengadakan tamrin dan tarbiyah supaya akan ada lagi
ahli-ahli Parlimen bukan Islam memeluk agama Islam atau berdakwah supaya
mereka faham tentang hukum dan menyokong pindaan ini.
Yang nyata sehingga kini mereka
gagal memahami keindahan Islam biarpun telah lama berkawan dengan PAS malah
rakan kongsi yang sama-sama mengimpikan Putrajaya juga walau seagama dan
sebangsa juga tetap menolak apatah lagi bila kedengaran ada juga wakil
PAS sendiri akan menolak semata-mata
kerana berbeza mazhab dan kelompok.
Malahan ada pula suara yang
meminta BN/UMNO pula yang memimpin sokongan di Parlimen nanti kerana UMNO
mempunyai wakil Melayu Islam paling ramai dan menimbulkan persoalan kenapa
sebelum ini banyak keputusan yang memerlukan sokongan 2/3, BN/UMNO tidak menghadapi masaalah meminta rakan parti
komponen menyokong sebagaimana biasa? Tidak bolehkah sekali lagi UMNO sebagai Ketua
BN meminta sokongan yang serupa? Cadangan `pre emtive' untuk meletakan dosanya
pada UMNO jika gagal mendapat sokongan di Parlimen.
Jawabnya mudah,
kerana UMNO sebelum ini mempunyai Presiden yang menjadi Ketua Kabinet dan
Perdana Menteri yang dihormati dan digeruni, yang suara dan arahannya akan
dipatuhi dengan tertib "sami'na wa ata'na" bukan sahaja dari kalangan
pimpinan UMNO tetapi juga dari kalangan pimpinan parti komponen dan bukannya
seperti sekarang bahawa pimpinan sudah
hilang nilai hormat dan tertib kepada Pemimpin sendiri.
Lihat sahaja contoh kepada
gagasan Islam Hadari yng dibawa oleh Pak Lah sebelum ini, bukan hanya di
perlekeh oleh PAS sebuah parti Islam tetapi turut ditolak oleh ahli sendiri dan
masih adakah lagi orang UMNO menyebut Islam Hadari? Rasanya hanya di Terengganu
sahaja disebut, itu pun kerana ada Masjid yng dinamakan dengan nama
Masjid Hadari. Apakah Gagasan 1 Malaysia tidak akan menerima nasib yang
sama?Kalau lihat kepada suasana semasa rasanya 1Malaysia akan lenyap lebih awal
lagi ketika pemimpin yang mengagaskannya masih di tampuk kuasa.
Apakah dengan karektor yang
sedemikian kita harapkan boleh mengarah agar parti komponen menyokong dan
kembali menjadi `sami'na wa ata'na'? Apakah hanya dengan pelaburan billion
ringgit yang diberi akan dianggap budi yng perlu dibalas oleh bukan Melayu
dengan menyokong pindaan untukmembolehkan Hudud dilaksanakan? Jadi kesimpulannya
tepatlah pantun tinggalan orang tua-tua, "apa diharap padi seberang,
entahkan jadi entahkan tidak, usah diharap partinya orang, entahkan sudi
entahkan tidak..!"
Setelah menyedari inilah
watak-watak yang ada dan halangan-halangan yang sengaja dicipta secara bersama
oleh mereka, maka strategi dan kaedah penyatuan kuasa politik Melayu amatlah
dituntut untuk survival dan masa depan Melayu Islam dan hukum Allah yang
menjadi impian bersama dapat kita lihat terlaksana dengan mata lendir kita. Sokongan
dan penyatuan ini tidak harus terhenti di DUN Kelantan dalam isu enekmen ini sahaja
tetapi harus diterjemah dalam sokongan politik yang lebih besar selepas
ini iaitu dalam pilihanraya akan datang. Kita perlu sama-sama hadam rupa paras
geo politik berasaskan kedudukan dimana punca kuasa Melayu berada. Asas
kepada punca kuasa Melayu hanya datang dari 134 kawasan majoriti Melayu yang
ada.
(Rujuk Jadual 2 di sebelah)
Hanya itulah
asas punca kuasa yang menghantar para pemimpin Melayu tanpa mengira parti
berkumpul di Parlimen untuk memperjuangkan apa-apa juga kepentingan Melayu
Islam termasuk untuk menegakan segala hukum Islam.
Semua konsensus politik yang
terbina sebelum ini dengan rakan-rakan komponen baik UMNO dalam BN dan PAS
dalam PKR sbg tahallus- siyasi yng menyebabkan Melayu Islam telah terkorban
dalam banyak perkara perlu dikaji dan diperbaiki dengan segera.supaya tidak selamanya
dianggap bodoh dan di perbudak-budakkan. Apatah lagi apabila yng dikorbankan
itu adalah punca kuasa Melayu Islam iaitu menyerahkan kerusi majoriti melayu kepada
Bukan Melayu bertanding dan pengundi Melayu pula diminta mengangkatnya sebagai
pemimpin.
(Rujuk jadual 3 disebelah)
Apakah
pemimpin Bukan Melayu yang diangkat itu menghargainya dengan menyokong
keputusan untuk kebaikan Melayu Islam atau paling kurang, menjadi beradab bila
bercakap menghormati Presiden UMNO yang memberi kerusi kepada mereka atas
alasan mengenang budi namun kini itu
tidak berlaku lagi kerana yng meminjam sudah pandai mengigit tangan.
Itu jugalah yang terjadi
kepada ukhwah PAS dengan rakan karibnya dalam PKR kerana ternyata semangat
assabiyah dan cauvenist mereka tidak termasuk dalam tahallul- siyasi yang
diamalkan dan apakah jika Presiden PAS diminta bertanding di Kota Melaka, Wan Azizah
bertanding Bukit Bintang dan PM Najib bertanding Bukit Bendera, semua
Presiden dari kalangan Melayu Islam ini akan menang namun Wee Ka Siong boleh
menang di Ayer Hitam, S. Manikavasagam boleh menang di Kapar.
Malah lebih malang kepada
Melayu dalam PAS yang juga turut terjerat dengan konsensus yang dibuat
sehingga adakalanya dilihat menjadi lebih pondan dari pondan
sejati.Menjadi dayus sehingga sanggup menukar matlamat Negara Islam menjadi
Negara Berkebajikan dan terketar-ketar menyatakan hukum Hudud cuma 0.00001%
daripada hukum Islam malah lebih teruk dalam DUN Perak sebelum ini diberitahu bahawa Hudud bukan niat dan cita-cita
PAS.
Namun syukurlah akhir-akhir
ini kerana mereka sudah berani keluar
dari kepompong dan bersuara dengan garaunya bak suara jantan sejati dan lantaran
itu menjadi tanggungjawab Melayu Islam dalam UMNO dan PAS mencari formula agar
halangan 2/3 itu dilepasi untuk menjadikan cita-cita semua umat Islam ini
tercapai.
Semuga anak cucu kita akan
dapat menyebutnya bila mereka membaca naskah sejarah bahawa undang-undang Tuhan
ini mampu dibentang, dilulus dan dilaksana dengan semangat ukhuwah Islamiah
antara sesama kita tanpa mengira isme-isme politik sempit.
Mahu tidak mahu satu suara
Melayu Islam perlu digerakan agar pertambahan kerusi Melayu Islam perlu
dijadikan agenda segera sebagai sesuatu yang `urgent' dan `important'.
Persempadanan semula kawasan pilihanraya perlu dibuat khususnya di
Negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu
dan Pahang tanpa terikat kepada parokial kenegerian semata-mata tetapi
kepentingan nasional untuk menambah jumlah Melayu Islam seramai mungkin.
Ianya gerakan bersama PAS
dan UMNO `without fear, favour dan prejudis' tambahlah berapa pun bilangannya
berasaskan ` gerrymandering' asalkan nanti Melayu Islam sentiasa cukup jumlah
2/3 majoriti biarpun berapa angkanya dan semua yang bernama Melayu Islam harus
menyokong tanpa syak dan wasangka kerana hanya inilah sebenarnya kuasa kita.
Kepada Presiden UMNO yang
menjadi tulang belakang BN,
ajarlah pemimpin-pemimpin lain yang bernaung dibawah wilayah kuasa, agar
berhemah dan mendengar kata, jinak kanlah hati pemimpin-pemimpin rakan
komponen agar tahu adab dan susila.
Kepada Presiden PAS,
tarbiyah dan tamrinlah pemimpin bawahan dengan mazhab yang sama sekali
pun terpaksa berbeza tapi janganlah sampai sanggup mengkhianati agama.
Kepada semua pemimpin Melayu Islam tanpa mengira darjat, pegangan parti, janganlah sesekali meletakkan diri sebagai pengemis kuasa kepada bukan Melayu Islam. Ingatlah jika berterusan membenarkan diri menjadi alat, hamba dan pengemis kuasa, sebenarnya kamu sedang menzalimi anak cucu keturunan kamu.
Subscribe to:
Post Comments
(Atom)
Powered by Blogger.
Bila Keris Di Asam Limau
- Sanggah Tok Janggut
- AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..
http://medanperang14.blogspot.com/
ReplyDeleteMP14 telah pautkan blog tuan ke blognya. Mohon tuan memberi peluang kepada MP14 untuk menjadi tamu di blog tuan. tkasih