Saturday, June 9, 2012
8:10 PM
|
Akhbar Inggeris agen putabelit! |
PADA
25 Mei lepas, saya diundang merasmikan Bengkel Cyber Troopers Pemuda Barisan
Nasional (BN) Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu. Seperti biasa, saya
berucap tanpa menggunakan teks. Topik bengkel berkaitan langkah menangani
cabaran dunia siber. Luas dan umum sifatnya.
Dalam
ucapan selama kira-kira 30 minit itu, saya menyentuh banyak perkara. Antaranya,
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing. Slogan `Sabah
for Sabahan' yang dicanangkan pembangkang. Perjanjian 20 Perkara. Juga saya
sentuh mengenai pembangunan.
Saya
katakan, semua isu itu perlu diberi perhatian oleh generasi muda. Lebih
penting, ia perlu diperjelaskan kepada rakyat. Supaya rakyat tidak keliru atau
dikelirukan oleh pihak pembangkang.
Esoknya,
sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengambil isu 20 Perkara sebagai
tajuk utama di muka hadapan. Terkejut juga saya bila melihatnya. Sebab seingat
saya, saya cuma menyentuh hal itu secara sepintas lalu, kira-kira lima minit.
Saya mendapatkan akhbar lain. Ternyata tiada satu pun tulis mengenai 20
Perkara. Akhbar lain mengambil topik politik biasa dan isu pembangunan.
Di
situlah bermulanya polemik dan kontroversi. Akhbar yang sama menyiarkan reaksi
dan susulan, komen dan ulasan pelbagai pihak. Semuanya menghentam saya secara
peribadi.
Saya
mengingati kembali ucapan saya. Saya langsung tidak menyentuh soal `kesahihan'
20 Perkara sebagaimana yang tergambar dalam laporan akhbar itu.
Saya berucap
dalam Bahasa Melayu, tetapi apabila ditulis dalam Bahasa Inggeris, ia
barangkali dibuat berasaskan persepsi wartawan yang menulis, yang kemudian
dirumuskan mengikut kefahaman editor ketika membuat tajuknya. Sebab itulah,
tajuk yang dibuat tidak sama dengan isi yang ditulis dalam laporan tersebut.
Saya
memahami kebebasan media dalam konteks sistem demokrasi. Sebab itu, saya tidak
membuat penafian atau menyalahkan sesiapa. Dua hari selepas itu, saya sekadar
membuat penjelasan menerusi Bernama mengenai kedudukan dokumen 20 Perkara itu,
setelah membaca bermacam-macam komen negatif mengenainya, yang semuanya
bersifat emosi dan peribadi.
Di
dalam penjelasan itu, saya nyatakan bahawa penjelasan sebenar berhubung dokumen
20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia perlu dibuat
bagi mengelak parti pembangkang memperalatkannya untuk kepentingan politik.
Soal
kesahihan sebenarnya tidak berbangkit kerana pada hakikatnya, 20 Perkara itu
hanya memorandum dan bukan perjanjian yang ditandatangani. Dan ada antara
perkara tersebut yang telah pun dimasukkan ke dalam dokumen perjanjian Malaysia
dan Perlembagaan Negara.
Secara
peribadi, saya menerima dan menghormati segala pandangan dan komen yang
diberikan. Tapi apa yang boleh saya katakan bahawa sebahagian besar komen
tersebut bersifat emosional dan peribadi, bukan bersandarkan fakta atau prinsip
perundangan. Dalam isu serius seperti 20 Perkara ini, kita tidak seharusnya
tenggelam dalam emosi sehingga lupa apa sebenarnya yang diungkapkan.
Perkara 20 yang menjadi benteng Sabah.. |
Saya
berasa agak sedih juga sebab ulasan-ulasan yang diberikan kebelakangan ini
sudah terkeluar daripada topik asal, sehinggakan ada yang meminta saya memohon
maaf, malah ada yang mendesak saya meletakkan jawatan. Itu semua tidak masuk
akal, dan didorong elemen politik.
Jika
diamati penjelasan yang saya telah berikan bahawa soal kesahihan 20 Perkara
tidak pernah berbangkit, maka komen atau ulasan hendaknya tidak berulang-ulang
mengenai `kesahihan' lagi. Lebih penting, komen seharusnya lebih fokus dan
mereka yang mengulas hendaklah memahami bahawa dokumen 20 Perkara itu bukannya
perjanjian, cuma memorandum.
Di
sini elok barangkali saya ringkaskan terjemahan saya mengenai apa yang disebut
dalam dokumen 20 Perkara.Terjemahan saya ini mungkin dipersetujui ataupun tidak
oleh pembaca. Ini adalah perkara biasa dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan
kebebasan memberi pandangan sesuai dengan sistem demokrasi. Saya hormati
sebarang terjemahan dan mungkin kita boleh "bersetuju untuk tidak
bersetuju."
Pada
saya secara umum, 20 Perkara merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan
parti-parti politik utama Sabah kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan
(Inter-Governmental Committee) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan
merangka draf Perlembagaan baru untuk Persekutuan Malaysia yang baru dengan
mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.
Memorandum
20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang
Pakatan parti-parti politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah
bentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.
Saya
mendapati Jawatankuasa IGC sudah menggabungkan atau memasukkan
perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan 18 ini bila mereka membuat
pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Malaya ketika itu. Semua
pindaan-pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan
Jawatankuasa IGC ini.
Dari
sisi undang-undang, saya rasakan Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara
minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen
undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk
menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan
Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.
Artikel
8 dalam Perjanjian Malaysia pula teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan
Malaya, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun
eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran A dan B)
sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan Malaysia.
Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh
Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan IGC,
maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu. Hak-hak yang termaktub di
dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang menjadi sumber asas untuk
Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia.
Sebagai contoh, salah satu Perkara 20 yang tidak direkodkan ke dalam Laporan
IGC merupakan Perkara No. 3 yang mengharuskan setiap pindaan terhadap
Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum).
Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan IGC. Maka dengan itu, Perkara 3 ini
tidak lagi relevan untuk masa sekarang.
Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan IGC untuk mengenal pasti
pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan
kedudukan Sabah dalam Malaysia. Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana
ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan untuk masa kini.-8/6/2012 - OLEH
SALLEH SAID KERUAK,TIMBALAN PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO SABAH DAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN
NEGERI SABAH
Subscribe to:
Post Comments
(Atom)
Powered by Blogger.
Bila Keris Di Asam Limau
- Sanggah Tok Janggut
- AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..
“ 20 Perkara Sabah” adalah 20 tuntutan yang telah dimasuk dan diserap ke dalam undang-undang perlembagaan Negara Malaysia sekarang. Namun perkara ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, jika kita mengkaji perundangan perlembagaan Malaysia
ReplyDeletesekarang, “20 Perkara Sabah” memang telah dilaksanakan didalam perundangan Negeri Sabah mahupun Kerajaan Persekutuan.
Selepas 10 tahun Sabah menyertai Malaysia, dan sehingga kini, 48 tahun Sabah Merdeka didalam gagasan Malaysia. Sabah tidak pernah lagi berdepan dengan satu situasi cemas yakni tidak berlaku konfrontasi antara rakyat Sabah kepada Kerajaan Persekutuan. Kehidupan harmonis menjadi pegangan utama rakyat Sabah dan inilah bukti mengapa pada tempoh tersebut tidak ada pungutan suara untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia.
Borneo Paradise (Blog)
Borneo Paradise (Facebook)