Saturday, October 17, 2015
4:17 PM
|
Ibrahim Saad diumumkan KP BTN yang baru. |
PANJANG
jangkamasanya sebuah perjalanan perjuangan mengangkat nilai bangsa dengan permulaan tahun
2011 hingga kini tahun 2015 dan khabar yang singgah di telinga cukup untuk membuatkan
kita menarik nafas lega dan tidak ada perkataan lain yang pertama terucap melainkan
merafak rasa syukur bila dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa sudah ada
pengumuman daripada Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (JPM) iaitu Azalina Otrhman Said bahawa Biro Tata Negara (BTN) akan mendapat Ketua
Pengarah yang baru iaitu orang lama dalam BTN yang akan dinaikan pangkat menggantikan
Raja Arif Raja Ali iaitu Dato Ibrahim Saad.
Terbitnya
rasa syukur ini adalah kerana perjuangan yang panjang dan berliku yang di
tempuhi, akhirnya ada sedikit kemanisan dan erti. Perjuangan yang tidak
langsung sama sekali bertujuan peribadi tetapi semata-mata ingin menyelamatkan
salah satu agensi yang menjadi wadah kepada perjuangan bangsa dari dimusnahkan
dari dalam oleh sibangang dan sitolol yang menjadi utusan bagaikan `trojan
horse' dalam epik sejarah yang terkenal.
Sekalung
tahniah kepada PM Najib dan Menteri di
JPM diatas keputusan tepat dan bijak biarpun agak terlambat
untuk menukar KP BTN kerana masa yang ada cuma tinggal 2 tahun 6 bulan sahaja
lagi tetapi bak kata pujangga `some thing better than nothing',sekurang-kurangnya kalian akhirnya menyedari sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan agensi ini.
`Political
will' daripada pimpinan terutama daripada PM Najib dan Menteri di JPM amat-amat dituntut
bagi memastikan BTN bukan hanya bertukar kepimpinan tetapi kembali berfungsi
sebagai agensi yang melatih, memberi kesedaran dan mendekatkan semula rakyat
dengan kerajaan melalui kaedah-kaedah yang berkesan.
Kata
kunci kearah tujuan itu PM Najib telah mulakan dengan meletakan `the right man
for the right position', kata kunci ini jugalah diharapkan akan menjadi pedoman
kepada KP baru BTN yang seharusnya memulakan tugasnya dengan "gear"
empat dan bukannya teraba-raba mencari kunci dan baru mahu belajar membeza
antara stering, pedal minyak dan pedal brek.
Kesilapan
meletak `wrong man for the wrong position' akan menyebabkan BTN tidak akan
dapat berfungsi sebagaimana diharapkan dan akhirnya akan dirumuskan perubahan
KP tidak membawa sebarang erti kepada perjuangan bangsa. Sebab itulah kata
kunci utama itu benar-benar menuntut kepada kebijaksanaan Dato Ibrahim Saad
(DIS),Pengarah BTN Sabah yang telah diumumkan sebagai KP BTN yang baru. Kebijaksanaan membezakan antara
nasi minyak, nasi hujan panas, nasi pelangi dan nasi beriani akan dapat menyerlahkan
kebijaksanaan DIS sebagai tukang masak yang akan menentukan ramuan apakah yang
diperlukan untuk menyediakan hidangan terbaik dalam tempuh baki masa yang ada
sebelum kenduri besar bangsa pada Mei 2018.
Ramai
juga yang mengucapkan tahniah dan bertanya kepada saya, apakah selepas ini
sudah tidak ada lagi komen-komen yang telah dianggap sebagai serangan
berterusan kepada BTN? Malah ada juga yang menganggap bahawa SanggahTokJanggut
telah masuk ke gelanggang peribadi dalam soal serangan atau kritikan kepada BTN. Oleh
kerana sentiasa memberi komen atau kritikan kepada BTN yang dianggap menyerang secara peribadi,
saya sendiri juga telah diserang secara
peribadi oleh penulis-penulis upahan kononnya untUk memberi tekanan dan cubaan `divert' dengan harapan blog ini akan takut dan tidak menulis lagi tentang BTN.
Lebih
malang lagi ada rombongan yang datang
berjumpa mendakwa utusan dari pejabat PM Najib, rombongan dari kawan jemaah dan
berbagai lagi termasuk juga antara mereka datang dengan membawa `bungkusan' untuk tujuan yang
sama bagi menghentikan kritikan terhadap BTN.
Ingin
ditegaskan, jika tulisan-tulisan sebelum ini yang boleh dianggap serangan peribadai
ataupun cubaan membunuh karektor atau
apa jua yang difikirkan, ianya langsung
tidak membawa sentimen peribadi antara saya dengan kepimpinan BTN. Saya tidak
pernah mempunyai matlamat ataupun mauduk peribadi dalam agensi BTN dan tidak
pernah sekelumit pun bermusuh dengan BTN tetapi yang ditulis,dikritik dan
diserang adalah orang-orang yang menjadi api dalam sekam dan gunting dalam
lipatan yang telah memandulkan fungsi dan peranan BTN dalam gerakan membina
bangsa.
Malah
saya tidak pernah merasa layak pun menerima ucapan tahniah atas pertukaran KP
BTN sekarang kerana terlalu kecil.sebesar hama sumbangan dan peranannya.
Pertukaran KP BTN sebagaimana yang diumumkan bukanlah kerana tulisan-tulisan
dan kritikan blog ini secara berterusan tetapi kerana kegagalan Raja Arif sebagai
KP BTN secara total telah mula dihidu dan diiktiraf oleh PM Najib.
Sebab
itulah jika ada ucapan tahniah pun,PM Najib dan Menteri lah yang sepatutnya
menerima ucapan tersebut dan disamping itu berilah ucapan-ucapan yang sama itu itu pada org lain yang mungkin membantu terutamanya
pimpinan politik peringkat nasional, orang-orang perseorangan yang sudah mula
berani menunjukan muka dan bersuara, pihak-pihak yang juga mendabik dada
kononnya hasil usaha merekalah termasuklah yang `berak diatas pusu' (meminjam
istilah orang-orang BTN) yang sudah berkira-kira mengintai peluang mencari
manfaat peribadi dari segi peluang dan apa sahaja ruang untuk tembolok sendiri.
Kelompok seperti ini (yang sudah mula berlagak wira) jika tidak diawasi dengan
bijak akan sekali lagi mengundang kegagalan kepada gerakan membina bangsa yang
telah diamanahkan kepada DIS.
Selaras
dengan tegasan yang telah dibuat bahawa semua kritikan sebelum ini tidak pernah
bersifat peribadi, ini bermakna biarpun selepas ini KPnya sudah bertukar dan
berganti daripada Raja Arif kepada DIS,
tetapi jika `roh' perjuangan BTN dan matlamat agensi ini masih lagi tidak
berfungsi sebagai `berkerja untuk bangsa', maka tulisan dan kritikan terhadap
BTN akan terus dapat dibaca. Apatah lagi jika pengurusan baru juga terus
membiarkan penyelewengan,salah laku dan pengkhianatan kepada bangsa terus
dibiarkan bermarajalela oleh watak-watak sedia ada dan mungkin watak-watak baru di BTN.
Saya
tidak pernah pandai membezakan antara Raja Arif dan DIS jika akhirnya nilai
perjuangan tidak kemana-mana. Saya juga tidak pernah terpengaruh dengan retorik
puji dan puja. Jika ada perbuatan pegawai membuat tuntutan bertugas menggunakan
nama isteri sendiri sedangkan isteri tidak bertugas itu salah,maka salahlah
biarpun Raja Arif sudah bertukar menjadi DIS. Jika perbuatan pegawai meminta
wang dengan pengusaha makan itu salah,
maka salahlah biarpun DIS telah menjadi KP.
Apatah
lagi jika melibatkan perkara-perkara yang lebih besar dan menyentuh dasar dan
saya tidak pernah diajar menilai seseorang berdasarkan berapa kerap orang itu
mencium tangan seseorang, tangan siapa yang dicium, berapa kuat bunyi decitan ciuman,
semua lakonan itu tidak akan dapat menghentikan tulisan di blog ini jika
matlamat menyelamatkan negara bangsa tidak ditunaikan.
Namun
jauh disudut hati,saya amat yakin dan percaya bahawa pengurusan baru BTN tidak akan
mengulangi sejarah hitam BTN yang telah dimandulkan selama ini malah saya juga yakin
dengan keperibadian DIS yang diangkat dengan penuh hormat dan harapan,tidak akan
mengurus dengan dendam,tidak memacu dengan geram, tidak akan menyuburkan
perasaan memperlekehkan orang, tidak buta menilai antara kaca dengan intan.
Sebab
itulah seluruh warga BTN perlu senada seirama untuk keluar dari kelompok
keselesaan, pecahkan semua benteng halangan demi memikul kembali tanggungjawab
kepada bangsa yang sekian lama diabaikan dan kalau perlu, baca dan hafallah
kembali jampi serapah lama untuk pulihkan semangat, untuk disasakan seluruh
sendi dan kudrat.
Sembuhkanlah BTN dari seluruh penyakit yang ada, kalau bisu biarlah boleh bercakap, kalau
buta biarlah boleh melihat, kalau pekak biarlah boleh mendengar akan segala titih
pusaka bangsa kerana Islam Agama Persekutuan perlu dipertahankan, Raja-Raja Melayu
perlu dikekalkan di singgahsana kuasa, Hak Istimewa bangsa perlu terus terpelihara
malah seluruh klausa Perlembagaan perlu diluhurkan dengan bijaksana.. Itulah
tugas mulia BTN yang seluruh warganya perlu menjunjung secara bersama.
Subscribe to:
Post Comments
(Atom)
Powered by Blogger.
Bila Keris Di Asam Limau
- Sanggah Tok Janggut
- AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..
0 comments:
Post a Comment