Tuesday, May 24, 2011

Imej TSMY makin tercemar dengan sikap pegawainya.
TERLALU banyak perkara Tan Sri Muhyidin Yassin (TSMY) terlepas pandang malah suara ramai makin hari makin kedengaran mendedahkan kepincangan dan keterlajakan kakitangannya menggunakan kedudukan dan kuasa sehingga dilihat TSMY bagaikan tidak mampu untuk membendung segala gelagat yang menyakit mata rakyat dan pemimpin-pemimpin politik.

Kita tidak menafikan bahawa TSMY merupakan gandingan baik dan cukup berkaliber membantu PM Najib sebagai Perdana Menteri malah usaha-usaha keras serta berterusan TSMY mengangkat martabat serta sokongan terhadap UMNO dan kerajaan memang kita tidak nafikan sama sekali namun membiarkan pegawai-pegawai disekelilingnya bermaharjalela menggunakan kuasa dan kedudukan boleh menimbulkan kebencian rakyat dan pemimpin terhadap kepimpinan beliau.

Suara-suara sumbang makin kedengaran.Kredibilti serta intergriti TSMY bagaikan tercabar apabila beliau dilihat gagal mengambil tindakan ataupun melihat dengan mata benar segala kerakusan yang sedang berlaku di dalam pejabat beliau. Penyingkiran Setiausaha Sulit Kanan,arahan dan keputusan beliau dipersendakan hingga ada pegawai-pegawai beliau yang boleh memintas arahannya dilihat sebagai manifestasi yang terlalu tidak baik untuk seorang Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran.

Hari ini semua orang sedang bercakap tentang tingkah pegawai-pegawainya terutama sekali Setiausaha Akhbar beliau yang dilihat mempunyai kuasa penuh dan melampui tugas-tugas hakikinya sebagai seorang pegawai akhbar malah Setiausaha Akhbar ini dikatakan orang terlibat sepenuhnya dalam pakatan penyingkiran Setiausaha Sulit Kanan TSMY dan digantikan dengan seorang Setiausaha Sulit Kanan yang baru dan SUSK ini juga dikatakan berkerja di bawah tekanan dan arahan Setiausaha Akhbar.

Pegawai TSMY ini juga dikatakan tidak begitu disenangi di kalangan rakan-rakan sepejabatnya lantaran sikapnya yang suka memerintah,menunjukkan kuasa ekoran hubungan rapat dan akrabnya dengan TSMY serta mengadu domba malah difahamkan sekiranya beliau tidak menyenangi mana-mana pegawai yang tidak mengikut telunjuknya,beliau akan mencari jalan untuk mengeluarkan kakitangan tersebut daripada jabatan-jabatan tertentu.itulah yang terjadi kepada Setiausaha Sulit Kanan TSMY sebelum ini dan juga Feris Omar,akhirnya letak jawatan.

Pejabat Menteri ataupun Menteri Besar mempunyai dua seksyen yang berbeza.Satu pejabat Menteri yang diketuai pentadbirannya oleh Setiausaha Sulit Kanan dan satu lagi adalah pejabat Setiausaha Politik.Kedua-dua pejabat ini mempunyai kakitangan masing-masing dan tugas masing-masing berbeza.

Sebagai contoh kedudukan jawatan Setiausaha Akhbar adalah tertakluk dibawah bidang kuasa serta tanggungjawab Setiausaha Sulit Kanan dan Setiausaha Akhbar fungsinya cukup mudah iaitu melaksanakan urusan media,mengatur sidang akhbar dan melaporkan apa sahaja tulisan berkaitan dengan Menteri serta menyediakan deraf ucapan Menteri terbabit dan Setiausaha Akhbar sama sekali tidak boleh berlagak sebagai Ketua ataupun orang yang paling berkuasa kepada Menteri berkenaan,

Paling mudah bahasanya,Setiausaha Akhbar harus sedar diri dan sentiasa mencerminkan diri tapi malangnya tugas beliau yang sepatutnya menyediakan deraf ucapan menteri tidak pernah dilakukannnya sendiri tetapi telah menyerahkan kepada orang lain untuk menyediakannya,maka jadilah seperti lembu punya susu tapi sapi yang dapat nama.Pegawai ini berlagak mengarahkan itu dan ini seolah-olah pejabat Timbalan Perdana Menteri ataupun Menteri Pelajaran dibawah kuasa beliau hingga Pegawai Khas beliau sendiri yang hanya berkerja secara kontrak turut angkuh.Setiausaha Akhbar pun boleh ada Pembantu Peribadikah?

Pegawai ini juga kemaruk untuk bersama TSMY baik dalam jet kerajaan ataupun helikopter yang membawa TSMY ke mana-mana majlis dimana sepatutnya tempat itu harus TSMY naiki bersama dengan pengawal-pengawal peribadi yang memang ditugas khusus untuk mengawal keselamatan TSMY sebagai Timbalan Perdana Menteri ataupun Menteri Pelajaran tetapi malangnya pengawal-pengawal peribadi TSMY dari pasukan UTK ataupun Pengawal Pengiring dinafikan tanggungjawab tersebut.

TSMY tidak ada pilihan.Beliau perlu membuat rombakan seberapa segera demi memulihkan imejnya yang sedang dicemari ketika ini.TSMY tidak seharusnya membiarkan kaduk terus naik junjung ataupun pegawai-pegawainya ini menjadi cacing yang menjolok mata kerana kesan ataupun tempiasnya pasti akan terpalit kepada beliau sendiri.Dan kalau terpaksa pecat demi membersihkan imej,TSMY tidak perlu bertolak ansur.

TSMY tidak boleh lagi melakukan kesilapan politik dan pentadbiran disaat beliau sendiri mengangkat transformasi politik sebagai hala tuju baru dan sekiranya  beliau terus leka serta gigih dalam usahanya membantu parti dan kerajaan tetapi dalam masa yang sama membenarkan kegelojohan pegawainya,memungkinkan nama baik yang TSMY bina sekian lama akan menjadi busuk dan jijik di mata ramai.

UMNO perlu berubah dan TSMY pun harus berani merubah kepincangan.TSMY berimejkan Islamik dan pegawai pun biarlah berimej yang sama,barulah seganding,seiring dan langkah sederap bersama..
Tuesday, May 17, 2011

KJ dituduh berkomplot singkirkan Najib?
SETELAH menulis tentang betapa perlunya institusi Pemuda UMNO diperkukuhkan menjelang PRU13,saya telah diserang bertubi-tubi oleh sekumpulan yang anti  KJ melalui komen-komen liar melalui blog ini yang tidak tergamak untuk saya siarkan dan bila pertama kali menulis tentang Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini,barulah sedar betapa banyaknya persepi buruk dan tuduhan dilabelkan kepada KJ dan saya juga turut dimusuhi,dihina dan dicerca.

Malah tulisan ini juga dipercaya akan mengundang sekali lagi persepsi buruk.Selama ini kita ingat pembangkang sahaja yang bijak bermain persepsi rupa-rupanya UMNO pun bijak bermain persepsi tetapi kebijakan UMNO bermain persepsi hanyalah sesama sendiri dan bukannya digunakan untuk menangkis ataupun menguruskan persepsi yang dicanang pembangkang.

UMNO melihat musuh diluar itu tidak penting tetapi lebih penting yang ada dalam UMNO,mereka ini harus diperangi semahunya dengan berbagai fitnah dan tuduhan walaupun kesannya boleh meruntuhkan seluruh institusi.Institusi sudah jadi tidak penting,yang penting adalah memuaskan kemarahan ataupun kebencian peribadi.

Paling berat tuduhan yang dilemparkan adalah mengaitkan KJ dalam konspirasi menjatuhkan PM Najib dengan menggunakan isu Alatantunya kononnya KJ bersekongkol dengan Raja Petra untuk merekayasakan segala fitnah yang mengheret PM Najib dalam isu tersebut dan juga kononnya KJ dituduh menghantar pasport kepada Anwar Ibrahim apabila peliwat ini dibebaskan dari penjara.Inilah tuduhan lama yang terus diperbaharuinya dari masa ke semasa.Tidak mengapalah kalau ada yang menuding jari kepada saya sebagai mempertahankan KJ tapi saya mempertahankan institusi yang secara kebetulannya dipimpin oleh KJ.

Banyak lagi tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan terhadap KJ tapi sayangnya komen-komen tersebut tidak ada nama,hanya berani menulis tapi tidak berani mendedahkan identiti dan bagi kita tuduhan ini amat liar,jahat dan tidak bertanggungjawab malah boleh disifatkan sebagai bertujuan untuk memusnahkah kredibilti KJ di mata umum. Kita tidak berniat untuk menuduh sesiapa sebagai dalang disebalik konspirasi terhadap KJ ini.

Cara serangan terhadap KJ dan kepimpinan ini bertali temali,bagai mata air yang tidak berhenti mengalir dan amat malang tuduhah sebesar itu tidak disokong oleh bukti yang KJ benar-benar terlibat dan adalah amat mustahil serta tidak masuk akal PM Najib sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai maklumat sebenar tentang konspirasi kerana sebagai Perdana Menteri PM mempunyai segala akses bagi mengsahihkan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu.

Komplot yag dicanangkan ini cukup besar kerana ianya membabitkan kedudukan Najib sebagai PM dan sesiapa sahaja yang lancang mulut menuduh sedemikian sebenarnya menafikan kecerdikan ataupun kebijaksanaan Najib sebagai Perdana Menteri seolah-olah Najib boleh diperbodohkan begitu sahaja.Dan kalau benar KJ terlibat dalam komplot ini,kita percaya PM Najib telah lama mengarahkan beliau mengosongkan kerusi Ketua Pemuda dan meletak jawatan sebagai MP Rembau.Satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kita mencabar sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat sedemikian  membuat laporan polis dan tidak membiarkan tuduhan tinggal sebagai tuduhan semata-mata kerana kalau benar tuduhan ini,KJ merupakan ancaman kepada negara dan juga kepimpinan PM Najib dan kalau tuduhan ini pula sengaja diada-adakan ianya juga jelas datang daripada pengkhianat yang berlegar dalam kepimpinan UMNO yang tidak senang atau boleh menerima kemenangan KJ sebagai Ketua Pemuda dan mahu pemimpin ini disingkirkan dari saf kepimpinan parti ataupun bertujuan untuk memalukan ataupun direncanakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda-agenda tertentu.

Kita juga percaya ada tangan-tangan ghaib yang menggunakan perantara untuk mengkhianati KJ sebagai ketua Pemuda UMNO Malaysia dan tangan-tangan ghaib ini sedang berlagak sebagai pemimpin yang baik,sering mengucapkan perpaduan dan sebagainya tetapi  dalam masa yang sama merencanakan agenda yang bukan sahaja boleh memusnahkan KJ tetapi boleh menjadikan Pemuda UMNO sendiri kacau bilau.

KJ dihina semahu-mahunya.Corak kepimpinannya diperlekehkan.Ada yang cerca KJ hanya sesuai jadi model batik ataupun jadi askar Wataniah,skandal dengan selebriti dan berbagai lagi fitnah dan tomahan dilemparkan.Bila KJ masuk tentera dan melakukan penerjunan hingga dianugerahkan beret merah,suara-suara sumbang kedengaran tapi malangnya tidak ada pula dari kalangan Pemuda sendiri yang bersedia untuk menjadi seperti KJ.

Era konvensional berubah dizaman KJ
Kita percaya segala tuduhan tanpa bukti yang dilemparkan itu hanya kerana dilihat KJ sebagai penghalang besar pihak-pihak tertentu yang tidak sabar-sabar mengidamkan jawatan Ketua Pemuda.Yang merasakan diri mereka lebih layak daripada KJ.

Paling terkesan adalah KJ telah berjaya membawa keluar corak kepimpinan Pemuda dari era konvensional kepada era kotemporari yang sesuai dengan zamannya malah KJ juga dilihat langsung tidak terkesan dengan segala tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada beliau kerana sehingga ke hari ini KJ meredah zaman pimpinannya walaupun dilihat payah tetapi terus berani.

Tuduhan kedua yang dilemparkan kepada KJ kononnya beliaulah yang menghantar secara peribadi pasport perjalanan kepada Anwar sedangkan hakikat sebenarnya KJ orang yang dihantar oleh Pak Lah (PM ketika) itu untuk menyampaikan satu mesej supaya Anwar meninggalkan Malaysia dan berhijrah kemana-mana negara yang beliau suka dan KJ adalah orang terakhir yang sanggup berdepan dengan Anwar setelah dua poegawai Pak Lah ketika itu iaitu Dato Tajudin dan Wan Farid keberatan untuk berdepan dengan Anwar.KJ mengambil risiko itu tapi akhirnya beliau dicerca sebagai budak suruhan Anwar.

Kita yakin dan percaya ramai yang tahu cerita sebenar disebalik kisah-kisah pasport dan komplot ini tapi kerana kebencian kepada kemenangan KJ sebagai Ketua Pemuda, mereka ini sanggup menutup mata dan telinga demi melihat kebenaran dan KJ terus dimangsai dan dicanangkan dengan berbaga-bagai tuduhan serta fitnah malah difahamkan KJ sendiri menerima tiga syarat yang PM berikan antaranya adalah menyatukan Pemuda yang berpecahbelah hasil dari pemilihan dalam kepimpinan sayap itu sebelum ini tapi malangnya masih ada dari kalangan calon yang kalah sanggup menjadi duri dalam daging kepada kepimpinana Pemuda ketika ini.

Kalau Pak Lah masih PM,lencun tangan KJ kena cium!
Kita tidak menafikan ada tindakan-tindakan KJ di zaman Pak Lah yang dilihat memudaratkan parti sehingga beliau dikaitkan sebagai punca Barisan Nasional kalah teruk dalam PRU12 tetapi sebagai orang muda,kita kena percaya dan yakin bahawa setiap yang muda itu ada kerakusan tersendiri,yang tua macam Anwar Ibrahim pun rakus apatah lagi dengan anak-anak muda yang mempunyai cita-cita besar dalam hidupnya namun peluang kedua harus diberikan kepada KJ untuk menebus dosanya (kalau ada) merapatkan kembali seluruh kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia.Usaha ini patutnya disokong dan menjadi tanggungjawab semua.

Baki tersisa yang tidak berapa banyak ini harus dimenafaatkan sebaiknya demi menjamin kemenangan BN dalam PRU13 nanti. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Pemuda tidak ada pilihan selain bersatu dalam satu pasukan dan meminggirkan seketika dendam kesumat kesan daripada pemilihan jawatan sebelum ini.

Waktu-waktu persidangan Pemuda UMNO Bahagian yang sedang berlangsung ketika ini harus dijadikan peluang oleh semua pihak untuk bersatu dibawah satu panji atas semangat sayang dan cintakan perjuangan parti.Ibarat kita berjemaah, jadilah makmun yang baik kerana kebetulan hari ini KJ adalah imamnya dan begitu jugalah sebaliknya
Saturday, May 7, 2011

Nasib KJ-masih ada api dendam!
KITA melihat kerengganan dan perbalahan pendapat dalam gerakan pemuda UMNO Malaysia terhadap kepimpinan Khairy Jamaluddin (KJ) tidak akan terhenti walaupun bahang pemilihannya telah pun berakhir dua tahun lalu dan sehingga ke hari ini KJ dilihat masih menjadi sasaran beberapa pihak dalam kalangan Pemuda yang masih tidak boleh menerima beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Mungkin KJ ada silapnya tetapi bila kalangan Pemuda UMNO sendiri berterusan mempertikaikan Pemuda UMNO Malaysia yang dipimpinnya menjadikan institusi ini dilihat mempunyai masalah yang sukar diselesaikan dan meletakkan institusi Pemuda sebagai sayap yang membebankan UMNO 

Sejak KJ menang walaupun dengan undi yang tipis,ramai kalangan pemuda UMNO seperti tidak boleh menerima kemenangan tersebut.Kemenangan KJ dicerca sedangkan yang mengundi KJ untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah dari kalangan mereka sendiri..Cuma ada sedikit yang membezakan untuk KJ mengatasi saingan terdekatnya Khir Toyo dan meninggalkan jauh Mukhriz Mahathir.

Yang menyokong Khir Toyo dan Mukhriz sehingga hari ini tidak boleh menerima kemenangan KJ dan sikap penentangan ini juga seolah-olah menafi atau menghina perwakilan yang mengundi untuk memberikan kemenangan kepada KJ.Jelas sangat ada usaha membunuh demokrasi dan dituduh kononnya kemenangan itu kerana itu dan ini.Sepatutnya dalam keadaan UMNO yang semakin tercabar ketika ini,mereka semua meletakkan kepentingan institusi lebih tinggi daripada kepentingan peribadi.

Masalah kepimpinan dalam Pemuda UMNO semakin meruncing apatah lagi dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO ketika ini, kalangan Pemuda Bahagian masih lagi bercanggah pendapat.Ada yang mempertahankan institusi dan ada yang menjadikan mesyuarat Perwakailan kali ini sebagai meluahkan marah dan kebencian yang teramat sangat kepada KJ.

Kredibiliti KJ disanggah semahu-mahunya.Bila Ketua Pemuda Cheras,Haji Syed Mehdar memohon pertimbangan sewajarnya daripada Perdana Menteri  untuk memberikan tempat dalam kabinet atas sifat KJ sebagi Ketua Pemuda UMNO Malaysia,kedengaran pula Pemuda UMNO Bahagian Kepong mengusulkan dalam persidangan mereka supaya KJ dinafikan hak untuk mendapat tempat dalam kabinet.

KP Cheras mempertahankan institusi
Syed Mehdar merupakan antara yang menentang kuat kemenangan KJ sebagai Ketua Pemuda dan secara terbuka dalam ucapannya tidak menyokong KJ namun beliau menerima KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia malah meletakkan kepentingan institusi Pemuda sebagai lebih penting daripada tentangan peribadinya.Bagi beliau cukup jelas bahawa musuh yang perlu ditentang adalah yang berada di luar UMNO dan bukannya dari kalangan UMNO sendiri dan mahu KJ diberikan peluang.Pendirian Syed Mehdar ini mengejutkan ramai pihak kerana beliau selama ini cukup lantang mengkritik kemenangan KJ dan secara terbuka tidak menyokong KJ.Syed Mehdar lebih berjiwa institusi.

Pendirian Syed Mehdar rupanya tidak menggembirakann musuh-musuh KJ.Bagai ada dendam pada KJ sedangkan hak untuk melantik KJ adalah di tangan Perdana Menteri walaupun ada yang mencadang ataupun menentang tetapi menggunakan ruang persidangan secara terbuka untuk mengkritik dan mencela KJ bukan lagi keadaan yang sesuai apatah lagi UMNO sendiri nasibnya seperti telur dihujung tanduk.Sepatutnya semua pihak bersatu dengan meletakkan kepentingan parti lebih utama dari rasa marah atau kecewa secara peribadi.

Soalnya siapakah yang untung dari perbalahan secara terbuka ini?Kita yakin tidak ada yang untung malah menjadikan UMNO itu sendiri semakin lemah dan tidak bertenaga malah langsung dilihat tidak berkesan kerana tidak ada penyatuan di kalangan mereka sendiri dan prinsip bila biduk lalu kiambang berpaut tidak terpakai dalam agenda Pemuda UMNO Malaysia.

Ataupun adakah ada tangan-tangan ghaib yang merencanakan segala agenda untuk memporak perandakan Pemuda UMNO Malaysia hingga ada pihak-pihak yang tidak sabar untuk menyingkirkan KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO sebelum sampai masa di pemilihan akan datang?

Sepatutnya UMNO disemua peringkat sudah mengenepikan perbalahan secara terbuka dan lebih memfokuskan kepada gerakan untuk berdepan dengan PRU13 yang bakal menentukan untung nasib serta masa depan UMNO dalam politik negara ini.Mereka sepatutnya kembali dalam satu jemaah dan marapatkan saf perjuangan untuk UMNO dilihat terus relevan mendepani cabaran yang semakin sengit dari pembangkang.Nasib malang UMNO kerana tangan-tangan ahli-ahli mereka sendiri yang mencencang UMNO dari dalam.

Dosa kekalahan UMNO 1998 dibahukan dengan begitu sekali terhadap KJ yang dilihat sebagai punca kepada kekalahan besar UMNO/BN dalam PRU12 lalu dan apa sekalipun dendam atau rasa marah terhadap KJ,jelas itu semua tidak menguntungkan UMNO secara keseluruhan dan kerengganan hubungan di kalangan Pemuda UMNO seluruh negara ini meletakkan sayap UMNO ini hilang semangat mempertahankan institusi  yang secara kebetulannya institusi Pemuda ini dikemudikan KJ.

Apa sekalipun dosa KJ,yang penting jangan sesekali dimangsai Pemuda UMNO itu.Dalam keadaan waktu yang begitu terbatas dan suntuk ini,Pemuda UMNO harus dipacu dengan kekuatan bersama.Menggandingkan seluruh kekuatan yang ada untuk memerangi pembangkang dan kalau benarlah kebencian terhadap KJ sukar dilampiaskan, tunjukkanlah jalan keluar kepada KJ pada pemilihan Ketua Pemuda untuk tahun—tahun akan datang.Berhentilah berperang sesama sendiri dan kalau inilah gaya dan rentaknya,tunggulah nasib kita pada PRU13 nanti.
Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers