Monday, February 14, 2011

Gaya seorang pemimpin dan Menteri
RICH AND FAMOUS, mungkin inilah gaya pentadbiran Raja Nong Chik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan juga Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar kerana mungkin dalam pemkirannya hari ini, kepimpinan UMNO harus didedahkan dengan lawatan-lawatan keluar negara, makan angin,berziarah dan melancong.

Hari ini 14 Februari 2011, jam 3.00 petang nanti,Raja Nong Chik bersama 40 orang delegasi termasuk Ketua-Ketua Bahagian dalam Wilayah Persekutuan kecuali Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa,Setiawangsa,Wangsa Maju,Putrajaya dan Cheras akan berangkat ke UAE dan beberapa buah negara lain,selebihnya anggota-anggota rombongan itu tidak diketahui siapa gerangan mereka,mungkin ahli-ahli perniagaan atau pegawai-pegawai Kemeterian yang telah mengaut untung dan laba dari hubungan yang terjalin.Seronok rupanya jadi pemimpin UMNO dan Menteri kabinet sebab boleh selalu melancong keluar Negara!

Kita telah mengenalpasti bahawa dalam jangka masa pemerintahannya sebagai Menteri yang baru menghampiri dua tahun ini, kunjungan keluar negara bukan lagi perkara baru malah difahamkan Raja Nong Chik terlalu banyak kali keluar negara dan yang pasti perbelanjaan keluar negara itu bukan ditanggung oleh individu terbabit dan barangkali menggunakan peruntukan Kementerian ataupun ditaja sepenuhnya oleh beliau sendiri.Banyak duitnya?Datang dari mana?

Kalaulah itu lawatan kerjanya atas fungsi sebagai seorang Menteri. Dimana pula keperluan untuk membawa Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan siapa pula selebihnya dari 40 orang yang berada dalam program lawatan itu?Takkan hanya kerana mahu mengenalpasti ataupun berbincang masalah-masalah UMNO yang tidak sempat beliau lakukan di dalam negara hingga terpaksa memilih mengadakan mesyuarat di luar negara?Jadi apa gunanya Mesyuarat Badan Perhubungan dan Mesyuarat Pengurusan yang dilakukan setiap bulan itu?Mesyuarat UMNO di Medan Tuanku itu bincang apa?Dan kita difahamkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian itu adalah orang yang sama dalam setiap kunjungan Menteri keluar Negara.

Kalau mengikut tradisi lawatan keluar negara, yang pasti mereka ini akan terlibat dalam sukan golf.Bila main golf,perbelanjaan mana pula yang digunakan kerana permainan golf memerlukan belanja yang besar?Kalau guna perbelanjaan kementerian, bagaimana auditnya nanti?Adakah ini bukan salah satu bentuk penyelewengan wang rakyat?Ataupun menggunakan kuasa Menteri sewenang-wenangnya?

Takkanlah setiap bulan atau setiap tahun ada penganjuran trip keluar Negara seperti ini sedangkan masalah UMNO di Wilayah Persekuatuan masih belum selesai.Masalah rakyat masih banyak yang terbengkalai.Adakah jawatan baik sebagai Ketua atau Menteri yang diamanahkah untuk menjaga kepentingan ahli dan rakyat dipergunakan untuk memuaskan nafsu serakah diri?

Konvensyen UMNO WP yang tidak memberikan keinsafan..
Ketua-Ketua ataupun Pemangku Ketua Bahagian itu mungkin tidak salah.Siapa yang sanggup menolak tawaran untuk keluar negara seandainya segala perbelanjaan iitu ditanggung sepenuhnya oleh pihak lain dan kalau Raja Nong Chik menaja sepenuhnya selain daripada mempersoalkan mana datang sumber kewangan itu,apa niat sebenar Raja Nong Chik bersama rombongan itu?

Adakah mahu mengumpul tandatangan ataupun merangka memorandum sokongan untuk dihantar kepada Perdana Menteri supaya beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin?Ataupun mahu menutup mulut supaya kepimpinannya sebagai Menteri tidak dikritik dan dengan membawa mereka ini keluar Negara akan Berjaya menggembalikan semula Wilayah persekutuan ke tangan UMNO BN?

Sepatutnya dalam tempoh yang berbaki tidak berapa lama lagi ini sebelum menjelang PRU13,semua pihak harus memikirkan bagaimana untuk mempertahankan kerajaan dan menggembalikan semula 10 Parlimen yang terlepas ke tangan pembangkang sebelum ini dan kita percaya Konvensyen UMNO yang diadakan hujung tahun lalu tidak menggariskan lawatan keluar negara sebagai salah satu bentuk atau strategi untuk memperkasa ataupun merekayasakan UMNO Wilayah Persekutuan kerana yang pasti Konvensyen itu adalah mencari jalan menmgukuhkan dan menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap parti ini.

Tapi hari ini bila kita melihat segala tingkah dan tindakan kepimpinan tertinggi  UMNO di Wilayah Persekutuan ini, mereka bagaikan tidak serius untuk menguasai kawasan-kawasan Parlimen yang ditewaskan pembangkang sebelum ini ataupun mereka sedar bahawa kepimpinan mereka memang tidak diperlukan lagi oleh rakyat selepas ini dan dalam masa terhad yang ada, mereka gunakanlah segala peruntukan yang ada untuk berhore-hore di luar negara.Biarlah rakyat lapar,biarlah rakyat berdepan dengan masalah tempat tinggal dan yang penting mereka ini tetap berpeluang melancong ataupun melencong di luar negara itu.

Rakyat sedang melihat tingkah dan mehnah kepimpinan yang sedia ada di Wilayah Persekutuan ketika ini.Dua pilihanraya kecil iaitu Merlimau dan Kerdau sedang menanti.Sarawak pula sedang menunggu semboyan DUN dibubarkan tapi kepimpinan UMNO masih leka berpesta-pestaan.Tahniah Raja Nong Chik dan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Friday, February 11, 2011

Nurul dakwa wang rakyat dibelanja sewenangnya
KONTRAVERSI kepimpinan Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar timbul lagi. Belum selesai isu pembangunan Kampong Baru, penjualan rumah PPR,isu Sime Darby dan masalah kepimpinan UMNO di peringkat Wilayah Persekutuan,Raja Nong Chik diasak pula dengan isu pembinaan jejantas berhawa dingin bernilai puluhan juta.

MP Lembah Pantai sudah mula menembak kepimpinan Raja Nong Chik satu demi satu dan pembongkaran pembinaan jejantas ini merupakan langkah pertama Nurul Izah sempena tahun 2011 ini dan kepincangan pengurusan projek-projek yang melibatkan kepimpinan Raja Nong Chik akan terdedah satu demi satu.

Tekanan demi tekanan diberikan kepada kepimpinan Raja Nong Chik dan kita percaya sikap berdolak dalik ataupun flip flop Raja Nong Chik akan bermula lagi dalam memperjelaskan isu ini dan berdasarkan sejarah kepimpinannnya selama hampir dua tahun sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Jejantas yang bernilai RM10 juta-belanja yang cukup luar biasa
Raja Nong Chik  dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail didesak memberikan jawapan tepat berhubung persoalan berbangkit berkaitan pembinaan jejantas berhawa dingin sepanjang 142 meter menghubungkan KLCC dengan Hotel Impiana.

Desakan itu dibuat ekoran Raja Nong Chik dan Ahmad Fuad sehingga kini masih diam membisu bagi menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuklah desakan  Nurul Izzah .

Fasa pertama projek jejantas pejalan kaki berhawa dingin di ibu negara yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ke Hotel Impiana KLCC itu telah dilancarkan oleh Raja Nong Chik dan Ahmad Fuad pada 7 Februari lalu.

Kredibiliti Menteri makin tercemar.
Jejantas hanya sepanjang 142 meter yang dilengkapi sistem penghawa dingin dan eksalator itu dibina dengan kos amat tinggi sehingga RM10 juta atau dengan nilai RM70,422 semeter, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan kepada pelbagai pihak.Kerja kelulusan yang cukup gila dan dilihat menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Nurul Izzah ketika membuat desakan itu berkata, disebabkan kosnya yang terlalu tinggi, Raja Nong Chik dan Ahmad Fuad tidak sepatutnya berdiam diri bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai jumlah sebenar perbelanjaan jejantas itu.

Menurut beliau, disebabkan jejantas itu berhawa dingin dan melibatkan penggunaan elektrik, bagaimanakah pula dengan kos penyelenggaraan dan pengendaliannya pada masa depan yang pasti meningkat akibat peningkatan unit elektrik.

"Oleh kerana syarikat-syarikat terbabit berkaitan dengan kerajaan dan badan-badan kerajaan termasuk Petronas, KLCC Holdings Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Prasarana, adakah proses tender terbuka dilakukan dan apakah ada pilihan-pilihan yang lebih murah?" katanya.

Bercakap kepada pemberita pada sidang medianya di sini, hari ini, beliau yang juga Naib Presiden PKR turut mengajak pelbagai pihak membuat perbandingan antara jejantas itu dengan jejantas di Singapura yang juga berhawa dingin, tetapi dibina di bawah tanah yang pasti melibatkan kos lebih tinggi dengan mengambil kira kos penggalian dan kos-kos lain.

"Pembinaan jejantas di Singapura diselenggarakan Perbadanan Pembangunan Semula Bandar (Uban Redevelopment Authority, URA. Syarikat swasta yang bertanggungjawab membina jejantas-jejantas di bandar tersebut dipilih menerusi sistem bidaan terbuka," katanya.

Kos pembinaan jejantas di Singapura juga, menurut beliau, dihadkan kepada $14,000 (RM33,400) untuk setiap meter persegi bagi pembinaan di tanah milik kerajaan di kawasan membeli-belah Orchard Road, berbanding kos pembinaan jejantas di KLCC bernilai secara purata RM70,422 semeter.

Sehubungan itu, beliau turut mendesak Raja Nong dan Ahmad Fuad memberikan jawapan bagaimanakah kos pembangunan RM70,422 semeter bagi jejantas itu diputuskan?

"Adakah wujud formula khusus yang menyimpulkan kos sebesar itu yang ditanggung oleh Petronas dan Prasarana, bukan sahaja melibatkan jejantas itu, tetapi juga jejantas-jejantas lain yang melibatkan Petronas dan Prasarana? tanyanya.

Menerusi laporan Belanjawan DBKL 2009, dinyatakan bahawa 72 jejantas pejalan kaki disediakan di bawah seliaan DBKL, manakala 35 buah lagi telah ditaja oleh syarikat swasta.
"Apakah status kesemua 107 jejantas pejalan kaki yang diumumkan bagi tahun 2009 itu? Berapa pula kos purata bagi penyelenggaraan jejantas-jejantas tersebut?" katanya.

Memandangkan kos sara hidup rakyat akan terus meningkat dengan terlaksananya potongan subsidi secara berdikit dan konsisten oleh Kerajaan Pusat, beliau mendesak Raja Nong Chik dan Ahmad Fuad menjawab kesemua persoalan itu supaya rakyat yakin tidak ada satu senpun wang negara dibelanjakan tanpa penelitian serius dan tanpa pembaziran.

Berapa banyak lagi pembaziran wang rakyat yang dilakukan?Kita akan dedahkan satu persatu apa yang Menteri kesayangan PM Najib ini lakukan.
Monday, February 7, 2011

UMNO Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Gelombang Merah.

“Golongan muda di Kelantan adalah lebih ramai jumlahnya daripada pengundi biasa, iaitu jumlah keseluruhan pengundi di negeri ialah 600,000 orang dan 400,000 daripada jumlah itu adalah golongan muda.

“Mereka merupakan golongan yang berpengaruh dalam menentukan kejayaan BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Katanya BN semakin mendapat tempat di hati rakyat Kelantan berdasarkan keputusan pada dua pilihan raya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada Julai 2009 dan DUN Galas pada November lepas.

Pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai 2009, BN berjaya mengurangkan majoriti 1,352 undi yang diraih PAS pada pilihan raya umum 2008 kepada hanya 65 undi dan pada pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November tahun lepas, BN menang dengan majoriti lebih besar iaitu 1,190 undi berbanding 646 undi pada 2008.

Mustapa berkata keputusan pada dua pilihan raya kecil itu jelas menunjukkan golongan muda di Kelantan mahukan satu perubahan.

Beliau percaya golongan muda kini sudah berpihak kepada BN kerana mereka yakin dengan kemampuan BN untuk membawa pelbagai perubahan yang diperlukan bagi merubah landskap Kelantan menjadi sebuah negeri berdaya saing daripada aspek ekonomi.
“Gelombang Merah bakal membawa perubahan kepada Kelantan yang selama ini dilihat masih tiada perubahan walaupun sekian lama kerajaan PAS memerintah dan kini negeri itu masih diselubungi isu tidak berkesudahan seperti isu bekalan air bersih, ketiadaan peluang pekerjaan untuk golongan muda, isu pembelaan para peniaga dan banyak lagi,” katanya.

Mungkin Pemuda UMNO sudah menopause. Tetapi menuduh demikian akan menjadi satu penghinaan besar kepada kaum wanita kerana menyamakan fenomena biologi mereka dengan Pemuda UMNO. Mungkin Pemuda UMNO sudah mandul idea, tetapi sekali lagi menuduh demikian juga satu penghinaan kepada fenomena biologi manusia. Membaca petikan akhbar pelancaran ‘Gelombang Merah Pemuda UMNO Kelantan’ membuat saya tercari-cari kalimah sebenar untuk menjelaskan perasaan saya, mungkin pembaca boleh turut membantu.

Anuar- KPU Kelantan
Saya teringat ketika di Felda Chemplak Barat, pada satu malam kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang yang lalu. Malam itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijadualkan berucap di kubu kuat UMNO. Para blogger berterak-terak untuk menyaksikan detik bersejarah itu.

Di seberang lorong tempat Guan Eng dijadualkan berceramah, berdiri sekumpulan tidak lebih 12 orang Pemuda UMNO dengan lengkap beruniform Pemuda UMNO dan Pemuda BN. Mereka ke situ bukan untuk mendengar ceramah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tetapi untuk menzahirkan protes mereka terhadap kedatangan Guan Eng ke kawasan Melayu.

Beberapa ketika sebelum Guan Eng tiba, beberapa ketua mereka dilihat sedang berunding dengan pihak polis yang melingkungi mereka. Bagi saya, tindakan polis melingkungi mereka bukanlah bagi menghalang mereka mara ke hadapan sebaliknya bagi menjaga keselamatan mereka. Bahkan jika polis tidak berbuat demikian, saya syak mereka akan lintang pungkang berkeliaran lari bila melihat sekumpulan tidak lebih tiga puluh orang berkopiah merenung mereka.

Lim Guan Eng akhirnya tiba dan saya membuat keputusan untuk berada bersama sedozen pemuda UMNO itu dan bukan bersama Guan Eng kerana walau bersama sedozen pemuda UMNO itu, saya masih boleh mendengar dengan lantang dan lancar ceramah Guan Eng.

Bagaimana dengan suara protes sedozen pemuda UMNO itu? Yang saya dengar menyedihkan dan memalukan. Bermula dengan nyayian lagu-lagu patriotik dan berakhir dengan zikir dan selawat, mereka tidak membawa sebarang impak melainkan hanya untuk diri mereka sahaja.
Akhirnya Lim Guan Eng, mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka kerana sudi hadir sama di dalam ceramahnya.

Malam itu saya meluahkan rasa sedih dan kesal saya kepada mereka. Mungkin bahasa saya agak kasar, tetapi niat saya ikhlas. Pertama sekali saya bertanya, mengapa mereka memakai uniform UMNO/BN dan mengapa mereka tidak berpakaian seperti penduduk Felda dan berdiri bersama orang ramai. Adalah lebih berkesan jika Lim Guan Eng melihat penentangan terhadapnya datang dari orang-orang Felda. Lim Guan Eng tidak pelik jika yang menentangnya adalah sedozen lelaki dalam uniform UMNO/BN yang berselindung dicelah ketiak polis.

Apakah mereka memakai uniform itu supaya senang polis mengenalpasti mereka dan memberi perlindungan yang mereka harapkan?

Esoknya saya mengajak mereka bersama menyertai saya mendengar ceramah pimpinan PAS di Tenang Station. Syarat yang saya letakan ialah, kita mesti berdiri di saf paling hadapan dan memakai baju biasa, Apabila kita dengar tuduhan yang tidak benar dilemparkan oleh penceramah, kita angkat tangan dan dengan sopan memohon penjelasan atau membetulkannya. Itu adalah hak kita.

Saya juga memberi mereka semangat dengan memberitahu bahawa di Tenang, ceramah PAS hanya dihadiri oleh tidak lebih tiga puluh orang penyokong PAS dan tidak seperti di Kelantan, jadi tiada alasan untuk berasa takut.

Akhirnya, bila masanya tiba, saya seorang diri berdiri di hadapan sekali. Tiada seorang pun pemuda UMNO yang saya jemput hadir sama. Sungguh mengecewakan.

Apakah Pemuda UMNO tidak boleh berjuang jika tidak memakai logo UMNO dan BN di dadanya? Apakah perjuangan mereka semata-mata untuk UMNO dan BN dan bukan untuk rakyat? Bukankah rakyat didahulukan?

Apa perlunya Gelombang Merah dilancarkan untuk disertakan program-program mendekati rakyat? Tidakkah boleh rakyat didekati sepanjang masa tanpa perlu gelombang atau kempen atau musim pilihanraya?

Rasanya ramai diantara kita belum lupa kempen Pade Doh 18 yang dilancarkan sebaik Dewan Rakyat dibubarkan oleh bapa mertua ketua pemuda UMNO sekarang. Kempen yang pernah disamakan oleh YBM Ku Li sebagai perang salib.

Saya masih ingat pesanan sahabat karib saya di dalam PAS, katanya “Ayah Mat (Dato’ Asri Haji Muda) selalu pesan, kerja kita biar macam tarik rambut dalam tepung….”

Lantas Mustapa Mohamed sepatutnya tidak berkata, “Gelombang Merah bakal membawa perubahan kepada Kelantan yang selama ini dilihat masih tiada perubahan walaupun sekian lama kerajaan PAS memerintah dan kini negeri itu masih diselubungi isu tidak berkesudahan seperti isu bekalan air bersih, ketiadaan peluang pekerjaan untuk golongan muda, isu pembelaan para peniaga dan banyak lagi”

Itu hanya retorik. Mustapa perlu memimpin tangan Anuar Safian mendekati masalah rakyat dan menyelesaikannya sambil berbisik, rambut jangan putus, tepung jangan berselerakan.
Ingat, selesaikan masalah rakyat dan bukan mencipta gelombang untuk pujuk rakyat menyelesaikan masalah UMNO dan Barisan Nasional.
Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers