Friday, October 29, 2010

MELIHAT ketrampilan Yong Teck Lee (YTL) yang sedang menawarkan diri sebagai calon Parlimen Batu Sapi,pengundi di kawasan ini seharusnya melihat lebih jauh tentang peranan,sikap,sifat serta betapa oportunisnya bekas Ketua Menteri Sabah ini seandainya mereka mahu memilih YTL sebagai wakil rakyat mereka.Rekod masa lampau YTL perlu dinilai sebaiknya oleh pengundi-pengundi dalam kawasan Parlimen ini.

YTL yang kononnya sedang berjuang atas konsep Sabah Sabahan dan mengembalikan kuasa autonami Sabah dilihat mempunyai agenda yang cukup licik dan memperalatkan pilihanraya kali ini untuk beliau terus merencanakan agenda peribadinya.Berputar belit segala fakta beliau dendangkan bagi meraih undi dan ada kalanya segala fakta ataupun cabaran yang beliau lemparkan seperti meludah ke langit kerana ada tindakan dan perbuatannya semasa menjadi Ketua Menteri dulu dilakukan oleh beliau dan ada yang tidak mampu dilakukan olehnya.Telunjuk lurus tapi kelingkingnya berkait.

Rakyat Sabah mungkin tidak pernah dan akan melupakan peranan yang beliau mainkan dalam kes rasuah dari tahun 1996 hingga 1998. Rakyat Sabah juga mungkin tidak lupa apa yang berlaku semasa YTL menjadi Ketua Menteri Sabah satu ketika dulu.

Pada 1996, YTL (ketika itu Ketua Menteri Sabah)  mengarahkan pembayaran RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri, Sapi Plantation milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).
Ini didedahkan oleh Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said, yang ketika itu merupakan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS). Beliau berjumpa YTL di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation bernilai RM16.8 juta.
Pendedahan dibuat Wasli ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu 12 Februari 2004 untuk menghadapi 5 pertuduhan rasuah melibatkan RM1 juta dan pemberian saham 3.36 juta unit saham milik LKTNS.
Perjumpaan Wasil dan YTL kerap diadakan selepas itu, bukan sahaja di pejabat tetapi di luar pejabat. YTL turut menghubungi Wasil bagi memaklumkan kaedah pemberian wang. Wasil diminta bertemu dengan ejen YTL yang hanya dikenali melalui nompor plat pendaftaraan kereta ejen terbabit.
Briskmark ditubuhkan untuk dijadikan wadah bagi dana politik YTL.
Menjelang PRU 1999, YTL menerima sejumlah wang lagi daripada Wasil. Wasil turut diarahkan memberi hadiah berupa wang tunai RM500,000 kepada lapan ahli lembaga pengarah Bismark, selain Yong, beliau membayar wang tunai RM500,000 kepada setiap daripada lapan anggota lembaga Briskmark sebagai derma kepada mereka. Mereka ialah Datuk Salleh Otik, Datuk Ismail Jook, Abdul Kader Pateh, Laimun Laikim, Michael Emban, Talib Aning, John Liaw dan Catherine Yong.
Ketika menjadi ketua Menteri Sabah, beliau ada kaitan dengan sebuah syarikat iaitu Warisan Harta Sabah (WHS) rugi RM114 juta, berikutan keputusan YTL (ketika itu Pengerusi WHS) mengarahkan ‘share swap’ pemilikan saham WHS  dalam MISC sebuah syarikat yang dianggap memiliki saham ‘blue chips’ dengan saham North Borneo Trading (NBT) dan Sugarbun Corporation Berhad, dimiliki dua usahawan dari Sarawak yang merupakan saham spekulatif.

Berikutan itu bukan sahaja Warisan Harta rugi dalam tahun kewangannya sebanyak RM114  juta kerana kejatuhan harga kedua-dua saham tetapi juga kehilangan dividen daripada MISC.

YTL juga mengarahkan BOD Amanah Saham Sabah (SAS) membeli saham-saham NBT dan Sugarbun, sehingga SAS mengalami kerugian teruk dan sehingga hari ini nilainya merosot dengan teruk dan ramai pelabur rakyat tempatan Sabah mengalami kerugian.

Lebih 55 ribu pelabur Sabah, yang kebanyakannya terdiri daripada pesara dan yang berpendapatan rendah kehilangan pelaburan mereka (pada 1996) akibat kejatuhan saham SAS daripada RM1 seunit kepada 17 sen seunit ketika itu.

Selama tempoh dua tahun Yong menjadi KM Sabah, banyak dasar-dasarnya tidak popular termasuk memperkenalkan Forest Management Unit (FMU) yang mengasingkan 2 juta hektar kawasan balak negeri Sabah kepada kurang daripada 20 syarikat untuk tempuh 100 tahun. 

Semasa menjadi Ketua Menteri terlalu banyak  hak-hak rakyat dikatakan telah dinafikan oleh beliau dan antaranya adalah :geran-geran tanah untuk kampung-kampung tradisional Melayu seperti kawasan Inanam, Gudon,Tebobon,Karambunai dan Menggatal tidak diluluskan bagi tujuan pemilikan kerajaan negeri (untuk keuntungan peribadi).Tiada kontrak untuk kontraktor bumiputra.Tiada peluang pekerjaan untuk anak-anak Bumiputra.

Hak rakyat lain yang dikatakan diambil olh YTL ialah 1 juta ekar konsesi balak untuk tempoh 100 tahun bernilai lebih RM20 Billion dari Tenom hingga ke Kalabakan,Tanah persisiran laut di Teluk Likas bernilai lebih RM500 juta,Tanah persisiran laut di Tanjung Aru bernilai lebih RM500 juta.,Tanah-tanah Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) bernilai lebih RM2 billion diambil melalui Sawit Kinabalu Sdn Bhd.

Wang saham rakyat dalam Koperasi Pembangunan Desa (KPD) bernilai RM60 juta diambil melalui Benta Holdings,Duit rakyat diperbendaharaan negeri berjumlah RM36 juta setahun melalui Angkatan Hebat Sdn Bhd (kontrak sewa kereta kepada semua agensi kerajaan, Merobohkan rumah-rumah kerajaan di Tanjung Aru untuk pembinaan resort oleh sebuah syarikat kroni tetapi sehingga kini tanah tersebut terbiar kerana tanah berkenaan tidak mempunyai geran.

YTL juga dipercayai mempunyai perwatakan pemimpin yang tidak boleh dipercayai malah disifatkan antara pemimpin yang mendokong sifat opurtinis dengan mengambiol kesempatan atas hubungan baiknya dengan Datuk Joseph Pairin Kitingan hingga membolehkan beliau diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Presiden PBS pada 30 September 1989. Pada 19 Julai 1990, YTL dilantik oleh Ketua Menteri (Pairin), sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Industri sehingga 19 Januari 1994.

Rentetan krisis dalaman PBS pada waktu itu mendorong YTL keluar PBS  bertindak pantas menubuhkan sebuah parti baru iaitu SAPP pada 19 Januari 1994 dengan membuka keahlian kepada semua kaum, sama seperti PBS.  YTL menjadikan 'hilang kepercayaan' sebagai alasan meninggalkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Kitingan, yang bertanggungjawab membawanya masuk dalam politik Bahkan, YTL sendiri mengepalai kumpulan mengkhianati Pairin.

 YTL dipercayai mempunyai hubungan yang rapat dengan Anwar Ibrahim dan banyak menerima dana melalui kapasiti Anwar sebagai Menteri Kewangan.

Pada 18 Jun 2008, Teck Lee yang menjadi Presiden SAPP mengatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersedia untuk menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Kemudian YTL umum SAPP keluar BN pada 17 September 2008.

Sebaliknya, pengumuman Yong itu bercanggah dengan pendiriannya sebelum PRU 2008 apabila beliau dilaporkan memuji dan menyatakan sokongan padu kepada kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah membuat kenyataan “'Saya tidak dapat memenuhi ketamakan dirinya (YTL)” bagi mengulas tindakan YTL itu. Maksudnya, YTL merupakan satu-satunya Presiden parti komponen BN Sabah yang tidak tercalon dalam PRU 2008. YTL menuntut janji jawatan Senator, tetapi tidak dipenuhi Musa dan Tun Abdullah Badawi. DUN Sabah yang bersidang tidak mencadangkan nama YTL sebagai Senator tetapi Musa mencadangkan nama lain.

YTL dipercayai termakan janji habuan yang ditawarkan oleh Anwar Ibrahim berikutan “isu 16 September”, iaitu pertukaran kerajaan berdasarkan kontroversi puluhan MP akan lompat parti. YTL juga mengakui pernah menemui Anwar sebanyak dua kali dalam tempoh itu, masing-masing di Hong Kong dan Kuala Lumpur. Tindakan SAPP keluar BN hanyalah strategi untuk meredakan kegagalan ’16 September’.

Bagaimanapun,  di pihak YTL, tindakan itu seperti ‘melangsaikan hutang’ dengan Anwar terutama hubungan Ketua Menteri - Menteri Kewangan dahulu. Dengan keputusan Yong Teck Lee mengeluarkan SAPP daripada BN, bermakna Yong Teck Lee Tidak Lagi berhutang dengan Anwar.

Pada 20 September 2008, Timbalan Presiden SAPP, Raymond Tan Exco Pemuda merangkap Ketua Pemuda Zon Sandakan, Alex Lim Su Chung dan Exco Wanita, yang juga Ketua Wanita Zon Sandakan Jane Ng Nyuk Jin, bersama 2000 ahli SAPP yang lain bertindak keluar parti itu kerana tidak bersetuju dengan keputusan YTL.

Menurut Raymond, perkara itu tidak mendapat persetujuan SAPP, tetapi hanya diputuskan secara de facto oleh YTL dan penyokongnya di kalangan ahli Majlis Tertinggi SAPP.
Pengundi di Parlimen Batu Sapi dituntut secara rasional untuk tidak memilih calon ini dan mereka Cuma ada dua pilihan untuk memilih iaitu antara BN dan PKR. Tepuk dada Tanya selera.
Friday, October 15, 2010

ENTAH dimana silapnya.Mungkin niat Tengku Adnan itu baik tapi tidak kena tempatnya.Menyerang sayap parti sedangkan beliau adalah Setiausah adalah sesuatu yang cukup tidak bijak.Sesuatu yang cukup luar biasa untuk sebuah organisasi.Tindakan itu juga seperti membuka pekung di dada,menyelak kain sendiri dengan mempamirkan segala kudis yang ada untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

Malah kenyataan balasnya yg menuding siapa makan cili dia terasa pedas juga tidak mencerminkan sikap beliau sebagai seorang yang matang dalam politik dan juga wibawa atas jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Ramai pihak tempelak Tengku Adnan.Ramai pihak tidak senang,kesal dan kecewa  dengan kenyataan yang dihamburkan itu dan ada juga pihak yang mendakwa bahawa Tengku telah hilang intergriti sebagai Setiausaha Agung UMNO apabila beliau mengambil kesempatan di jamuan Adilfitri Pemuda,Puteri Dan wanita mendedahkan kepada umum,ahli dan kepada musuh kemelut yang dikatakan melanda dua sayap utama UMNO itu.Tujuannya hanya beliau yang tahu.

Masalah sayap-sayap UMNO itu mungkin tidak sebesar mana tetapi kepada media yang anti UMNO dan kerajaan akan mengambil kesempatan memanipulasikan kenyataan tersebut untuk menambahburukkan lagi keadaan dan sekaligus mencetuskan kekalutan berterusan pada sayap-sayap tersebut.

Kerahsiaan UMNO yang sepatut beliau pegang atas sifat jawatannya telah menjadi tiris dan terus membuka peluang kepada kawan dan lawan untuk  menyerang UMNO dan juga kedua sayap itu.Malah sikap lepas laku beliau yang menggunakan media bukanlah medan terbaik untuk membetulkan apa sahaja termasuklah parti tetapi kenaytaan itu lebih memburukkan keadaan  bila Setiauasaha Agung sendiri yang membuka segala pekung yang ada,mendedahkan segala kepincangan yang ada.

Apakah tidak cukup ruang sebagai Setiausaha Agung untuk menegur kepimpinan Puteri dan Pemuda dalam setiap mesyuarat yang beliau hadiri dan kegagalan beliau untuk memperbetulkan permasalahan yang timbul dalam sayap parti sekaligus akan dilihat sebagai gagalnya seorang Setiausaha untuk berfungsi sebaiknya atau dengan kata lain mencerminkan kelemahan beliau sebagai seorang pentadbir.

Apakah kerana terlalu lama menjadi  Setiauasa Agung Tengku hilang kematangannya dalam mengendalikan isu-isu yang timbul dikalangan Pemuda dan juga Puteri?Apakah membuka pekung sendiri ini adalah prinsip UMNO Berubah sepertti yang Presiden mahukan dan diterjemahkan dalam bentuk sebegini pula oleh Setiausaha Agung?

Kenyataan Tengku Adnan itu juga  secara tidak langsung memperlihatkan kegagalan beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO yang sepatutnya menjaga tertib organisasi dan tidak menggunakan media untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di dada beliau apatah lagi sayap Pemuda dan Wanita itu beliau turut bertanggungjawab untuk mempoerbetulkan segala kepincangan ataupun sebarang masalah yang timbul.

Kita juga percaya dalam usaha Pemuda ataupun Puteri untuk memperkasa ataupun merapatkan barisan kepimpinan mereka, tindakan Ku Nan mengeluarkan kenyataan itu cukup melukakan.walaupun Khairy Jamaluddin menerima dengan hati terbuka tetapi Rosnah Rashid Shirlin sudah membayangkan kekecewaan beliau dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Setiausaha Agung itu.

Kalau diumpamakan sebagai bapa. Ku nan sebenarnya telah gagal mendidik `anak-anak’nya itu sehingga terpaksa menggunakan media untuk menegur masalah anak-anaknya itu sedangkan masalah-masalah yang timbul masih boleh diselesaikan dengan berbagai cara yang lain tanpa menggunakan media untuk memperkecil ataupun memperlekehkan peranan `anak-anaknya’ itu. 

Dan adakah inya juga merupakan seorang bapa yang baik apabila menguar-uarkan kelemahan anak-anak itu kepada orang ramai. Membuka pekung ini biasanya akan berdepan dengan dua keputusan. Satu mungkin boleh dicari penawar untuk mengubatinya ataupun  menambahkan lagi  jangkitan penyakit kepada pekung-pekuang tersebut.

Kegagalan paling nyata Setiausaha Agung dalam soal ini ialah saluran membincangkan masalah itu bukan saluran terbaik dan boleh menambahkan lagi persepsi buruk kepada sayap-sayap itu dan juga kepada organisasi UMNO secara keseluruhan.Tanggungjawab Setiauasa Agung adalah mentadbir parti sejajar dengan arahan Presiden dan bukannya mendedahkan segala urusan tadbir itu kepada media kecualilah Presiden juga bersubahat dan membenarkan segala kepincangan parti di dedahkan kepada umum.

Kita masih ingat apabila Ku Nan diserang oleh PENAWAR sehingga mendesak beliau melepaskan jawatan Setiausaha Agung UMNO apabila beberapa tindakan beliau dilihat seperti tidak menguntungkan UMNO sehingga beliau dianggap liabaliti kepada parti tertua orang-orang Melayu ini malah tindakan beliau yang berkonfrantasi dengan satu NGO Melayu iaitu PERKASA juga dilihat tidak kena pada tempatnya sedangkan UMNO itu ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib dan masa depan orang-orang Melayu tapi Ku Nan mengambil pendirian menyerang kepimpinan NGO itu sehingga mengguriskan banyak hati orang-orang Melayu yang menjadi ahli NGO tersebut.

Ada catatan sejarah yang mungkin dilupakan bahawa penubuhan UMNO itu sendiri pada awalnya didokong oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu ketika itu yang bersatu demia menubuhkan sebuah parti politik namun hari ini kerana mahu tunduk kepada komponen-komponen yang mungkin tidak senang dengan agenda perjuangan Ngo. Ku Nan memilih untuk bersama dengan puak chauvinis, menentang,menghina dan mengaibkan Ngo Melayu itu sedangkan jelas agenda atau matlamat penubuhan Perkasa berbeza dengan manifestasi UMNO  itu sendiri.

Cukuplah kita meludah ke langit.Perjuangan menegak Negara bangsa perlu dilakukan secara berhemah bak tarik rambut dalam tepung.kalau sudah kekeringan idea dan tidak mampu lagi menangani mekanime perubahan,kesetiaan dan kecintaan kepada parti, semua orang tahu jalan keluarnya bagaimana.,jangan kita jadi seperti jari menuding, satu jari dituding kepada orang lain, sembilan lagi menuding kepada diri sendiri.Dan kita sama sekali tidak mahu musang ditugaskan menjaga reban ayam.


Sunday, October 10, 2010


MELAKA  cipta sejarah lagi dalam kontek pemberian darjah kebesaran kepada individu ataupun tokoh-tokoh yang dikenalpasti untuk menerimanya.Satu ketika negeri ini pernah mencipta sejarah dgn pemberian darjah sehingga mencecah hamper seratus orang tapi hari ini darjah kebesaran negeri Melaka dilihat sudah seperti tidak bernilai apabila tersenarai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Bahagian untuk menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk.

Memang benar urusan ataupun keputusan untuk mengurniakannya terpulang kepada Kerajaan Negeri dengan perkenan Sultan,Raja ataupun TYT walaupun mereka mahu memberikannya kepada peminta sedekah ataupun pelacur jalanan sekalipun namun kemuliaan darjah itu perlu dipandang sebagai sesautu yang berharga dan mempunyai nilai tersendiri untuk dipakaikan kepada pemakainya.

Dalam masa yang sama penilaian terhadap seseorang itu perlu dilakukan berdasarkan sumbangan dan peranannya di negeri tersebut serta tidak mempunyai kelansungan kepentingan politik jangka masa atau meraih sokongan semata-mata.Jangan hanya kerana silap langkah dan penerimaan, masyrakat akan mencebek atau mencemuh anugerah-anugerah atau darjah daripada sesebuah negeri itu.

Kita sedikit terkilan apabila pemimpin parti politik di salah sebuah bahagian ini yang sedang berdepan dengan tuduhan moral dan salahlaku seks dianugerahkan darjah kebesaran itu dan penganugerahan ini seakan-akan memberikan pengikhtirafan kepada sesiapa sahaja yang melakukan salah laku seks baik terhadap isteri orang,janda yang masih dalam edah ataupun ibu-ibu tunggal yang mengharapkan bantuan ataupun anak-anak gadis yang diperdaya dengan segala janji-janji manis.

Masyarakat yang mengetahui latar belakang pemimpin ini mula memandang serong di atas pengurnian tersebut dan mula menganggap anugerah darjah tersebut bukan berdasar merit tetapi lebih kepada pengurniaan secara suka-suka dan terpulang kepada siapa yang mahu diberikan walaupun pengurniaan tersebut tidak menepati kemuliaan yang sepatut ada di atas pemberian itu.

Kerajaan Negeri Melaka maupun pejabat TYT Melaka seharusnya peka supaya darjah yang datang dari negeri itu tidak dipandang hina oleh masayrakat luar namun dengan memberikannya kepada Ketua Bahagian ini, nyata dan sahihlah betapa besar mana dan bernilai atau tidak anugerah tersebut.

Pemberian itu juga janganlah berdasarkan kepada sokongan semata-mata tetapi perlu ada pihak lain yang menyiasat latar belakang bakal penerimanya kerana kesannya amat besar apabila orang yang tidak sepatutnya menerima darjah tetapi tetap diberikan juga. Ini akan memalukan pemberi darjah dan negeri itu.Pemberian darjah kebesaran ini bukan seperti kita main congkak ataupun kunda-kundi.

Kita melihat bagaimana beberapa buah negeri seperti Johor dan Selangor menarik balik anugerah-anugerah yang diberikan ataupun menggantung anugerah atau darjah itu sekiranya penerimanya berdepan dengan tuduhan jenayah ataupun salah laku yang lain tetapi ada sedikit perbezaan dengan darjah yang diberikan oleh Negeri Melaka (hari ini) kerana ianya dilihat seperti mengenepikan masalah moral dan lebih meletakkan sokongan sebagai garis penentu akhir untuk disahkan penerimanya. Jangan menghina anugerah tersebut hanya kerana ada kepentingan lain.

Kita difahamkan Ketua Bahagian ini sampai merayu-rayu mohon diberikan anugerah tersebut dan tidak cukup menggunakan sokongan daripada Negeri sendiri, sanggup merayu kepada pemimpin Negara supaya beliau diberikan darjah tersebut dan apa pentingnya darjah itu kepada beliau.Adakah dengan darjah tersebut akan lebih mudah lagi untuk beliau melaksanakan atau memuaskan nafsu serakahnya yang tidak pernah memilih mangsa itu?

Besar sangatkah anugerah Dato atau Datuk itu kalau kehidupan peribadi penuh dengan segala dosa dan noda?Dan kita tidak terfikir bahawa ada juga pihak lain yang sanggup bersubahat untuk menutup salah laku ini dan adakah mereka menganggap bahawa terlibat skandal seks dengan isteri orang,janda yang masih dalam edah ataupun ibu-ibu tunggal yang naïf itu tidak perlu difikirkan ataupun diambil tindakan dalam menerima permohonan ataupun borang yang dihantar kepada pejabat Kerajaan negeri?

Demia menjaga maruah dan nilai darjah tersebut,kita menuntut kerajaan negeri mengkaji semula keputusan itu dan kalau perlu tarik balik kept=utusan yang telah dibuat kerana kita tidak boleh menrima pendosa,yang menyelewengkan tugas dan tanggungjwaba sebagai pemimpin memakai apa sahaja gelaran dan dan dalam masa yang sama, satu siasatan perlu dilakukan terhadap Ketua Bahagian ini kecuali semua pemimpin bersetuju untuk menutup segala salah laku ini dan membiarkan mangsa-mangsa yang terlibat menanggung sakit dan malu sendirian.

Ekoran daripada ini, sesaiapa sahaja jangan bimbang untuk terlibat dalam apa sahaja skandal kerana darjah kebesaran negeri sedanag menanti mereka.
Powered by Blogger.

Rakan Blogger

Rujukan Entri

Kunjungan

Bila Keris Di Asam Limau

My photo
AKU bukan sesiapa.Biar kecil di sisi manusia tetapi ingin besar di sisi Allah.Biar rendah dipandang manusia tetapi tinggi di sisi Tuhan, Menulis melalui mata dan telinga,mencatat melalui akal dan sejengkal pengalaman. Aku cuma ingin mengisi kemerdekaan ini dengan berjiwa lepas bebas, keluar dan berlari meninggalkan jauh jiwa hamba.Aku tidak ingin jadi orang besar-besar jauh sekali bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Menteri atau pemimpin yang ada-ada.Cukuplah aku menjadi aku..

Selamat Datang

Rangkaian

Followers